Penyasaran RON95 dijangka dilaksana suku kedua 2025

Penyasaran RON95 dijangka dilaksana suku kedua 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka melaksanakan penyasaran RON95 pada suku tahun kedua 2025.

Penyasaran bahan api RON95 dilihat akan memberi kesan negatif kepada negara sekiranya kerajaan melakukannya tergesa-gesa dan dibuat tanpa kajian impak menyeluruh.

Pakar-pakar ekonomi berpandangan, pendekatan yang diambil dalam penyasaran diesel tidak sesuai digunakan untuk RON95 kerana diesel kebanyakannya digunakan pengguna komersial berbanding RON95 oleh 20 juta warganegara terutama B40 dan M40.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penganalisis ekonomi, Profesor Dr. Barjoyai Bardai berkata, penyasaran RON95 memerlukan masa, iaitu kerajaan perlu terlebih dahulu membuktikan bahawa penyasaran diesel tidak menjejaskan inflasi dan harga pasaran.

“Kaedah nak memberi subsidi RON95 dan menentukan siapa yang layak adalah satu perkara yang rumit, ia memerlukan data Pangkalan Data Utama (PADU) sempurna dan lengkap terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan, penyasaran RON95 memang perlu dilakukan kerana aktiviti salah guna petrol itu masih berleluasa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, kerajaan tidak boleh melakukannya secara terburu-buru supaya majoriti rakyat tidak akan terjejas.

“Dalam kes petrol, kesan daripada penyasaran akan lebih nyata dan besar, sebab itu ia memerlukan satu kaedah atau mekanisme yang rapi jika kita mahu mengelak kesan ke atas inflasi, kos sara hidup serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan masih belum memutuskan tempoh untuk melaksanakan penyasaran RON95 walaupun Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak akan melakukan pengumuman awal seperti mana diesel.

Rafizi sebelum ini berkata, kerajaan akan menggunakan strategi sama, iaitu dengan tidak membuat makluman awal kepada umum berkenaan sebarang keputusan berkaitan penyelarasan subsidi RON95.

Dalam pada itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School, Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latif berkata, kerajaan perlu memastikan PADU dilengkapi oleh seluruh rakyat untuk mengelak berlaku keciciran.

Malah, kata beliau, kerajaan juga perlu menawarkan alternatif kepada pengguna kenderaan persendirian, iaitu meningkatkan akses pengangkutan awam supaya mereka tidak terlalu terkesan dengan penyasaran RON95.

Katanya, kerajaan juga perlu meningkatkan jaringan sosial seperti menaikkan gaji pekerja tempatan.

“Kalau semua ini sudah tercapai, iaitu pendapatan rakyat sudah meningkat dan majoriti lebih memilih untuk menaiki pengangkutan awam, barulah saya rasa kerajaan boleh lakukan penyasaran RON95 sebab rakyat dan negara sudah bersedia.

“Saya menjangkakan majoriti rakyat Malaysia akan menerima bantuan tunai untuk RON95 selepas kerajaan melakukan penyasaran iaitu merangkumi mereka dari kumpulan B40 dan M40,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN