KOTA BHARU: Simpanan emas merupakan antara pelaburan jangka panjang terbaik dilakukan golongan pekebun dan penoreh susulan kenaikan harga getah antara RM4.50 hingga RM5 ketika ini.
Pengerusi Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM), Kameruzaman Ab. Rahman berkata, ini kerana emas tidak mengalami susut nilai yang terlalu rendah selain mudah dijual berbanding aset-aset lain seperti tanah dan kenderaan.
“Sebagai contoh, kalau beli kenderaan, bila nak jual harga akan susut. Situasi ini sudah tentu menyebabkan pekebun dan penoreh berdepan kerugian.
“Emas ini dalam pelbagai bentuk. Kalau nak selamat, beli barang kemas seperti gelang, cincin, rantai, rantai tangan dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kameruzaman memberitahu, kelebihan emas adalah boleh digadai atau dijual ketika kritikal terutama apabila harga getah menjuman.
Katanya, pada masa sama, pekebun dan penoreh turut dinasihat supaya berbelanja secara berhemah dan tidak boros.
“Elak daripada membeli aset seperti kenderaan secara berhutang. Saya tidak mahu pekebun menanggung risiko sekiranya harga getah menjunam kembali.
“Selain itu, buat simpanan wang sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau memberitahu, pekebun dan penoreh juga boleh mempelbagaikan usaha menambah pendapatan dengan mengusahakan tanaman kontan seperti kelapa bagi memastikan kantung kewangan mereka kekal kukuh. – UTUSAN











