PETALING JAYA: Pemanah recurve negara, Syaqiera Mashayikh gembira dapat tampil beraksi di Sukan Olimpik buat kali kedua selepas menempah tiket ke temasya terbabit apabila melayakkan diri ketika Piala Dunia Memanah Stage 3 di Antalya, Turkiye, bulan lalu.
Beliau bersama trio wanita negara yang dibarisi oleh Ariana Nur Dania Mohamad Zairi serta Nurul Azreena Mohamad Fazil mengejutkan Malaysia apabila layak ke Paris menerusi acara recurve berpasukan wanita.
“Untuk layak ke Olimpik kali ini tidak mudah sejujurnya. Saya bersama pasukan berusaha sehabis baik dan amat berbangga kerana kami berkerja keras untuk sampai ke sini (Paris).
“Saya tidak mengharapkan apa-apa Olimpik kali ini. Apapun saya bersyukur kepada Allah SWT kerana permudahkan urusan kami bertiga untuk layak ke Paris,” katanya.
Pemanah berusia 23 tahun itu berharap pengalamannya ketika di Tokyo 2020 dapat membantunya untuk mengurangkan rasa tekanan apabila beraksi di Paris, bulan depan.
Syaqiera kini menghuni di kedudukan 121 dunia turut melayakkan diri menerusi acara recurve individu di acara empat tahun sekali itu.
Untuk rekod, ini merupakan kali pertama Malaysia beraksi menerusi acara berpasukan recurve wanita di Sukan Olimpik Paris 2024. – UTUSAN










