KUALA TERENGGANU: Pasar Kedai Payang 1 yang dijadual beroperasi semalam masih belum dibuka kepada pengunjung berikutan kebanyakan peniaga masih dalam proses ubah suai lot kedai masing-masing.
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof berkata, operasi perniagaan di pasar itu dijangka bermula seawal 15 Julai nanti.
Menurutnya, setakat ini hanya peniaga di empat bahagian sudah membuat undian lot, iaitu kedai emas, cenderamata, peralatan dapur serta kasut dan selipar.
“Banyak kerja ubah suai perlu dibuat seperti memasang siling, meja pameran emas, rak barangan, kipas dan pendawaian elektrik.
“Mungkin ada peniaga masuk beransur-ansur pada 15 Julai nanti, namun semuanya bergantung kepada tahap kemajuan proses ubah suai yang dilakukan,” katanya.
Projek Pasar Kedai Payang 1 yang dibina di atas tapak asal dengan kos RM70.03 juta diluluskan Kerajaan Persekutuan memandangkan bangunan lama sudah terlalu uzur dan daif.
Kerja-kerja pembinaan semula itu membabitkan bangunan dua tingkat menempatkan 412 lot kedai dan 369 petak jualan.
Sementara itu, pengunjung yang ditemui berharap Pasar Kedai Payang 1 dapat beroperasi secepat mungkin kerana ia adalah destinasi pelancongan yang terkenal di Terengganu. – UTUSAN











