JEMPOL: Seorang lelaki diarahkan untuk menjalani pemeriksaan mental selama sebulan di Hospital Permai selepas dia bertindak menikam ibunya sendiri dalam kejadian di Felda Raja Alias 1, di sini bulan lalu.
Perintah itu dikeluarkan Majistret, Norshazwani Ishak di Mahkamah Majistret Bahau di sini hari ini terhadap Rahmat Ismail, 20, selepas pihak pendakwaan meminta untuk tertuduh menjalani pemeriksaan mental terlebih dahulu sebelum sebarang pengakuan direkodkan.
“Saya dimaklumkan tertuduh ada mild depression, saya mohon mahkamah di bawah kuasa yang diperuntukkan Seksyen 342 kanun acara jenayah untuk tertuduh ini dirujuk ke hospital bagi penilaian mental sebelum pengakuan salah direkodkan,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri.
Majistret kemudiannya mengarahkan tertuduh untuk dihantar ke penilaian Hospital Permai terlebih dahulu bagi memastikan sama ada terdapat masalah berkenaan dan menjalani pemerhatian selama tempoh sebulan dan tiada jaminan dibenarkan.
Kes akan disebut semula pada 2 Ogos ini.
Tertuduh berhadapan pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau dengan denda atau sebat, atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menyebabkan cedera ke atas seorang wanita dengan menggunakan pisau. Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 12.50 tengah hari di sebuah rumah di Felda Raja Alias 1, pada 22 Jun lalu.
Media pada 25 Jun lalu melaporkan seorang lelaki yang bertindak menikam ibu kandungnya sendiri berusia 48 tahun ditangkap polis di Taman Rasa Sayang Cheras, Kajang, Selangor.
Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Jempol dan doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan luka sedalam 2.5 sentimeter di bahagian belakang badan serta telah menerima tiga jahitan.-UTUSAN.









