KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mengumpul RM160,000 melalui Langkah Muar menerusi misi larian sejauh 200 kilometer (km).
Perkembangan itu dikongsikan Ahli Parlimen Muar itu yang dalam fasa terakhir bagi menuntut keadilan untuk peruntukan kawasan pembangkang yang didakwa dinafikan sekian lama.
Menurutnya, jumlah itu melebihi sasaran RM100,000 yang disasarkan sebelum ini.
“Semalam apabila saya semak data lebih 2,000 rakyat Malaysia menyumbang. Tetapi, yang lebih terharu adalah bukan setakat menyumbang melalui atas talian tetapi sambil berlari ramai berhenti berikan RM50, RM150, RM10 dan ada adik beri RM1… itu agak luar biasa sekali.
“Besar kemungkinan mereka tidak pernah pun jejak kaki di Muar, tidak ada kenalan atau keluarga di Muar, tetapi tetap ada aspirasi yang sama.
“Sebab itu saya rasa ini bukan setakat tentang Muar. tetapi Malaysia secara keseluruhan. Kerana rakyat di Muar, Machang, Putrajaya, Ketereh dan semua ini adalah rakyat Malaysia yang membayar cukai yang berhak dapat keadilan. Jangan hukum mereka kerana warna politik,” katanya dalam sidang media selepas menamatkan larian di luar bangunan Parlimen.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, tuntutan peruntukan itu adalah berdasarkan kepada prinsip keadilan bahawa bantuan kebajikan kepada semua perlu tanpa mengira agama, bangsa dan warna politik.
“Jika kita lihat kalau kamu berada di kawasan Parlimen kerajaan sepenggal, kamu akan dapat RM20 juta, tetapi di parlimen pembangkang RM0.
“Mahu buka pusat khidmat, sarakan pegawai, berikan bantuan kebajikan seperti kerusi roda, lampin dan susu formula itu semua ditiadakan.
“Sebab itu ini perkara yang sangat mustahak sekali yang lazimnya sebelum pilihan raya digariskan dalam janji-janji pilihan raya, tetapi selepas itu dilupakan dan reformasi itu di direformatikan begitu sahaja,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya sudah beberapa kali mengadakan rundingan berhubung isu berkenaan, namun tetap gagal
“Janganlah guna alasan bahawa runding ini runding itu. Saya boleh katakan sudah runding berkali-kali. Bukan sekali, dua Kali… sudah hantar surat tiga kali.
“Tetapi, saya rasa ini bukan soal rundingan lagi, namun ini soal politik balas dendam ingin menghukum rakyat yang susah di kawasan pembangkang dan saya rasa perkara ini salah serta perlu kita tentang bersama,” katanya. – UTUSAN











