PETALING JAYA: Penyanyi, Kaka Azraff, mengingatkan orang ramai agar berhati-hati memuat naik kenyataan yang boleh menimbulkan perbalahan di media sosial.
Kaka atau Nor Atiqa Noor Azraff, 35, berpendapat perbuatan kecam dan hina akan memecahkan semangat persaudaraan rakyat Malaysia.
“Hari ini, terlalu mudah untuk kita saling berbalah di media sosial. Hal yang kecil pun boleh menjadi punca. Jika pandai mengendalikan media sosial, kita boleh saling bertukar maklumat. Tapi jika sebaliknya, kita mudah berpecah dan runtuhlah ikatan silaturahim,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kaka berkata demikian mengulas memgenai perbuatan kecam di media sosial yang sudah menjadi toksik dalam masyarakat hari ini.
Tambah penyanyi Gila itu lagi, perkongsian yang berlegar di laman sosial boleh jadi telah dimanipulasi, maka masyarakat tidak boleh terlalu taksub dengan satu pendapat semata-mata.
“Apa yang ada di media sosial bukan semuanya realiti. Ia hanya ‘dunia maya’ sahaja. Saya harap kita dapat membezakan baik dan buruk.
“Penting untuk kita menahan diri daripada mengecam dan terlalu taksub sehingga menghina sesiapa sahaja di media sosial. Kecam, kutuk dan hina bukan budaya budaya. Sopan santun dan budi bahasa adalah budaya sebenar kita ,” katanya.
Susulan daripada itu, Kaka tampil menyanyikan lagu ‘Kita Pasti Boleh’ yang membawa mesej kedamaian.
“Saya percaya muzik boleh bawa perubahan dan impak kepada seseorang jika mereka mahu membuka hati. Itulah yang saya terapkan dalam semua lagu-lagu saya. Kali ini bersama rakan penyanyi Daniel Sher dan Saint T.F.C, kami ingin bawakan semangat perpaduan di dalam lagu.
“Jika lagu ‘Standing in the Eyes of the World’ boleh mencipta magis begitu, kami harap ‘Kita Pasti Boleh’ boleh memberi impak yang sama,” tambahnya.
Sementara itu, ‘Kita Pasti Boleh’ turut diangkat menjadi runut bunyi filem Gold menceritakan seorang atlet, Cheah Liek Hou yang memenangi pingat emas badminton semasa Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Filem arahan Adrian Teh itu bakal menemui penonton bermula 11 Julai ini. – UTUSAN









