KANGAR: Larangan pembelian diesel dan petrol RON95 berulang yang dilaksanakan di Kelantan sebelum ini diperluaskan ke negeri ini melibatkan 39 stesen minyak bermula, hari ini.
Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementeroan Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, menerusi pelaksanaan itu, pengusaha stesen minyak terlibat diharap dapat memberi kerjasama dan mematuhi arahan dengan memastikan tiada mana-mana kenderaan membuat pengisian bahan bakar itu secara berulang.
Beliau berkata, dalam masa sama, KPDN juga akan menempatkan pegawai statik mereka di stesen-stesen minyak yang berpotensi dikunjungi oleh pihak terlibat yang giat melakukan kegiatan tersebut.
“Tugas kami di KPDN mempunyai pelbagai kaedah untuk kesan pergerakan kegiatan ini contohnya macam di Kedah, Kelantan, Perlis dan Perak, kita tempatkan pegawai di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), stesen minyak dan pelbagai lagi.
“Malah kita juga mula menguatkuasakan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di stesen-stesen minyak bagi mengesan aktiviti ini,” katanya selepas Sesi Penyerahan Arahan Pengawalan Bekalan Kepada Pemilik Stesen Minyak Di Perlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Bukit Ayer Ayer, Kompleks Eko Pelancongan Sungai Batu Pahat, di sini, hari ini.
Pelaksanaan larangan itu sebelum ini bermula di Kelantan pada 15 Jun lepas di mana semua stesen minyak di negeri itu tidak lagi dibenarkan melakukan pembelian petrol RON95 secara berulang bagi mengelakkan bahan bakar bersubsidi itu diseleweng ke negara jiran.
Selepas Perlis, pelaksanaan tersebut juga sedang diperluaskan ke beberapa negeri sempadan lain antaranya seperti Kedah dan Perak dalam masa terdekat.
Mengulas lanjut, Azman berkata, sindiket penyeludupan diesel pada masa kini juga dilihat mula beralih ke petrol RON95 dan menukar modus operandi yang kebiasaannya digunakan mereka.
“Pihak terlibat juga tidak lagi menggunakan kenderaan diubahsuai dan hanya menggunakan kenderaan biasa bagi melakukan kegiatan tersebut. Walaupun kita kesan modus operandi baru, namun kita juga masih kumpul maklumat tapi sekiranya ada kes, tindakan akan terus diambil segera,” katanya.
Di samping itu, Azman berkata, menerusi statistik Ops Tiris 3.0 bermula 1 Januari sehingga 25 Jun lalu, sebanyak 22,336 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara dan dari jumlah itu, sebanyak 1,156 kes telah diambil tindakan melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM64.84 juta.
Katanya, statistik penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara bermula 20 Januari sehingga 25 Jun lalu juga menunjukkan sebanyak 31,076 kenderaan telah diperiksa dan tujuh kes telah dihasilkan.
“KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan termasuk tidak melakukan aktiviti pembelian berulang ke atas bahan api diesel dan petrol RON95,” katanya.-UTUSAN










