WANITA saya temuinya ini lagaknya sederhana namun cukup anggun.
Kebaya Pahang rona putih gading dengan solekan tipis. Penampilannya hari itu memang cukup anggun, serasi benar dengan latar kerjayanya sebagai pengasas jenama fesyen busana klasik nusantara – Tujoh Kuntom. Amelin Asri, baharu berusia 33 tahun namun kanvas kerjayanya sarat dengan keceriaan warna.
Kalau pereka busana moden kontempori berebut-rebut mencipta rekaan luar biasa bagi meraih anugerah fesyen, Amelin tidak perlu ‘kalut’
“Busana klasik itu sudah cukup kukuh. Perekanya tidak perlu keterlaluan mencipta kelainan sebaliknya hanya berikan sedikit nafas baharu bagi memastikan ia terus dimartabatkan,” katanya kepada Seri sewaktu bertemunya di butik Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Kuat menggenggam falsafah itu, tidak hairanlah apabila sejak pembabitan dalam industri fesyen empat tahun lalu, beliau diiktiraf sebagai Successful People in Malaysia and Singapore oleh British Ensiklopedia baru-baru ini.
“Pengiktirafan itu membawa erti rekaan saya dilihat dan diterima di peringkat antarabangsa,” katanya memberikan kefahaman.
Kesungguhannya memartabatkan busana klasik nusantara melalui jenama fesyen yang diasaskan sejak 2020 itu berjaya membuka mata dunia.

Mengakui terharu dengan pengiktirafan itu sementelah beliau masih bertatih dalam dunia perniagaan fesyen, namun ia menjadi azimat untuknya tampil kreatif dalam mengubah dunia fesyen tempatan.
Air tangannya bukan biasabiasa. Setiap koleksi dihasilkan tidak sekadar merubah gaya sebaliknya persepsi orang ramaidalam dunia fesyen.
Salah satu kejayaan beliau yang paling signifikan ialah mengubah persepsi orang ramai terhadap busana pernikahan.
Jika dahulu busana pernikahan sinonim dengan rona putih, namun percaturan berani Tujoh Kuntom mempertaruhkan koleksibusana nikah rona hitam mula ‘memancing’ perhatian ramai.
“Saya percaya Tujoh Kuntom yang memulakan era pengantin pakai baju hitam kerana tidak salah lari daripada kebiasaan dalam mencipta kelainan.
“Pada awalnya memang ada yang memandang sinis dan mengatakan tidak sesuai pengantin menggayakan hitam.
“Namun, siapa sangka kini ia menjadi trend dan ikutan ramai bukan sahaja dalam kalangan individu tetapi jenama fesyen lain juga ketika ini,” katanya yang mempunyai dua pereka fesyen sendiri.
Ketika ini Amelin lebih menumpukan kepada pengurusan syarikat dan membawa idea-idea baharu untuk pengembangan jenama.
“Tujoh Kuntom itu unik. Sengaja ia dieja dengan gaya klasik bagi membawa identiti yang ingin diketengahkan.
“Tujoh membawa maksud nombor kegemaran iaiatu tujuh, manakala Kuntom pula, kuntuman bunga sebab saya suka bunga,” katanya mengulas mengenai pilihan jenama busananya itu.

Produk yang bermula secara dalam talian itu, kini mulai berkembang hingga memberi impak besar dalam industri fesyen tempatan.
Gaya busana klasik dengan sulaman tradisional unik menjadikan ia sebagai salah satu gaya yang menjadi ikutan.
Pun begitu, jelasnya, membangunkan jenama tidak semudah untuk memastikan ia bertahan lama.
“Kena berusaha berlipat kali ganda. Saya rasa untuk berada pada tahap tinggi, pereka busana klasik perlu sentiasa mencari idea baharu dan segar. Tidak takut untuk bereksperimen dengan teknik dan reka bentuk baharu yang dapat memberikan nafas baharu kepada busana klasik.
“Pemahaman mendalam tentang tradisi dan faham sejarah serta budaya di sebalik busana klasik adalah kunci untuk menjadi pereka yang baik. Ini termasuk memahami bahanbahan serta fabrik tradisional, teknik jahitan dan elemenelemen simbolik dalam pakaian.
“Adaptasi dengan trend semasa juga penting. Walaupun berpegang kepada elemen klasik, pereka perlu peka dengan aliran semasa dan tahu bagaimana untuk menggabungkan elemenelemen moden ke dalam rekaan, tanpa mengorbankan nilai tradisi,” jelasnya panjang lebar.
MANIFESTASI DIRI
Pembabitan wanita kelahiran Kota Bharu, Kelantan dalam dunia fesyen bermula daripada percubaan beraninya untuk mencabar diri dengan mencipta pembaharuan dalam hidupnya.
Walaupun sudah selesa bekerja di syarikat berasaskan keselamatan milik bapanya, namun beliau tidak mahu terus berada dalam ‘kepompong’ sama.
“Saya mahu mencari sesuatu yang boleh mencabar diri dan pemikiran.
“Kebetulan saya memang minat busana klasik. Ketika itu saya dapati agak susah untuk mendapatkan busana klasik yang betul-betul ada elemen klasik kerana kebanyakannya ada diselitkan dengan gaya moden.
“Jadi, saya fikir mengapa tidak saya mulakan jenama fesyen yang betul-betul ketengahkan elemen klasik dan dalam masa yang sama saya memang minat dalam bidang rekaan busana,” katanya.
Lulusan perniagaan antarabangsa ini gemar memanifestasi diri agar setiap perkara diinginkan berjaya direalisasikan.
Pada masa sama membantunya menjadi individu berpengaruh dalam bidang diceburi.
“Saya suka manifestasi diri dan saya sering menetapkan satu-satu matlamat untuk dicapai.
“Saya mengingatkan diri untuk bina perniagaan sendiri dan tidak semata-mata bergantung kepada ibu bapa,” katanya.
KENTAL HARUNGI CABARAN
Memulakan sesuatu perniagaan memang mudah namun untuk mengekalkannya adalah satu perjuangan.
Selama empat tahun menguruskan perniagaan tersebut, jatuh bangun sudah menjadi adat baginya.
Belum lagi terpaksa bersengkang mata demi memastikan perniagaan kekal relevan di mata penggemar fesyen.
“Sebenarnya, saya memulakan perniagaan ini tepat dua bulan sebelum pandemik Covid-19 melanda. Ketika itu saya sudah sediakan 1,000 helai baju untuk dijual.
“Agak susah hati pada ketika itu kerana dua orang pembantu yang saya upah untuk membantu pun tidak boleh datang membantu kerana sekatan pergerakan pada ketika itu.
“Saya buat sendiri semua benda daripada rekaan, promosi dan melayan pertanyaan pelanggan. Malah, saya tidak tidur sekitar lima hari memikirkan bagaimana membangunkan perniagaan pada ketika itu,” katanya.
Namun, segala penat lelah itu seakan sudah terbayar ketika ini apabila jenamanya bakal menjelajah ke Kota Paris tidak lama lagi.
Katanya, peluang itu datang daripada sebuah syarikat yang mahu bekerjasama untuk membawa jenama itu ke kota fesyen yang menjadi idaman semua peminat fesyen di dunia.
“Ketika ini kami masih dalam peringkat perbincangan untuk membuat pertunjukan fesyen di kota itu “Semoga ini adalah langkah permulaan kami untuk mula berkembang di peringkat antarabangsa,” katanya yang turut merancang meluaskan empayar perniagaan ke Indonesia.
SOKONGAN KELUARGA
Di sebalik kejayaan yang dikecapi ketika ini, anak sulung daripada tiga beradik ini percaya sokongan keluarga adalah segalagalanya.
Bantuan moral yang dihulurkan oleh ibu bapanya dari awal pembabitan dalam bidang perniagaan ini menjadi sumber kejayaan beliau.
“Ayah mentor saya dalam bidang perniagaan. Dia sering melahirkan rasa bangganya dengan menganjurkan acara keraian keluarga setiap kali saya meraih kejayaan dalam perniagaan saya asaskan.
“Ibu pula banyak membantu memberi idea untuk rekaan semasa awal-awal dahulu.
“Selain itu, saya rasa pekerjapekerja yang ada pada ketika ini juga banyak membantu saya menguruskan perniagaan memandangkan saya melakukan dua pekerjaan ini,” katanya yang masih bekerja bersama bapa dan dalam masa yang sama menguruskan perniagaannya sendiri.
Malah, beliau yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan ahli perniagaan dari Iran juga bersyukur kerana komitmennya dalam dunia perniagaan disokong baik oleh suami.










