IPOH: Seramai 11 wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak ketika bersembunyi dalam sebuah bilik rahsia dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini kelmarin.
Serbuan Op Gegar bermula pukul 11.30 malam itu di jalankan anggota Bahagian Penguatkuasa selepas menerima aduan dan risikan dijalanakn di premis tersebut.
Pengarah JIM Perak, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, dalam operasi selama dua jam itu, seramai 32 warga asing yang berada di dalam premis telah diperiksa.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 11 wanita warga dipercayai GRO dijumpai bersembunyi dalam sebuah bilik rahsia.
“Kesemua GRO itu terdiri daripada sembilan warga Thailand dan dua wanita warga China berusia antara 21 hingga 37 tahun.
“Mereka ditahan kerana dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, kesemua warga asing tersebut ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal atau berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang telah dikeluarkan,” ujar beliau.










