Ibu derma hati lega Ayra Sumayyah makin pulih - Utusan Malaysia

Ibu derma hati lega Ayra Sumayyah makin pulih

NOOR Shahieda Mohamad Ajamin bersama anaknya, Ayra Sumayyah Mohamad Assahid yang kini sedang ditempatkan di PPUM untuk tujuan pemeriksaan kesihatan selepas pulang dari Shanghai, China pada Rabu lalu.-GAMBAR/IHSAN KELUARGA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang ibu gembira dan sebab selepas anaknya yang sebelum ini menderita penyakit Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati kini semakin pulih selepas menjalani pemindahan hati di Hospital Renji, Shanghai, China pada 12 Jun lalu.

Menurut Noor Shahieda Mohamad Ajamin, 33, dia juga merasakan pengorbanan yang dilakukannya dengan mendermakan hati sebanyak 20 peratus kepada anaknya, Ayra Sumayyah Mohamad Assahid, 1, untuk tujuan itu juga tidak sia-sia apabila melihat perubahan positif anaknya itu.

“Saya menjalani pembedahan selama lima jam menggunakan teknik laparoskopik diikuti Ayra selama lapan jam. Selepas pemindahan hari itu, setiap malam sebelum tidur, saya rasa ngilu dan pedih.

“Ayra pula selepas pembedahan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Renji bagi pemantauan selama lima hari.  Apabila kali pertama saya dapat lihat selepas dia keluar dari ICU itu saya rasa sebak dan bersyukur.

“Bayangkan selama setahun saya jaga Ayra, saya tidak pernah nampak matanya putih, kini Alhamdulillah, mata dan badannya tidak kuning dan Ayra juga makin sihat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ujar Noor Shahieda lagi, suaminya, Mohamad Assahid Mohamad Zin, 35, yang merupakan anggota tentera turut mengambil cuti selama sebulan untuk sama-sama menguruskan dirinya dan Ayra di China.

Menurutnya, mereka baharu sahaja pulang ke Malaysia, kelmarin (Rabu) dan anaknya kini ditempatkan terlebih dahulu di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur untuk pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan pulang ke rumah mereka di Felda Raja Alias 4 di sini

“Pada mulanya kami hanya dapat mengumpul lebih RM100,000 namun kos pembedahan itu kemudiannya dapat dicukupkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang turut menyumbang sebanyak RM30,000.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu menyumbang bagi tujuan kesihatan anak saya ini. Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan kini Ayra bergantung seumur hidup terhadap ubat bagi mengelak badannya dari menolak hati yang didermakan.

“Ubat ini agak mahal, kalau di China harganya RM400 ada 50 biji dan boleh digunakan selama sebulan lebih bergantung kepada dos yang disarankan,” katanya lagi.

Utusan Online pada 17 Mei lalu melaporkan kisah kanak-kanak berusia setahun, Ayra Sumayyah Mohamad Assahid yang memerlukan sumbangan sebanyak RM250,000 untuk pembedahan di China.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×