KUALA LUMPUR: Dua lelaki warganegara Amerika Latin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memecah masuk rumah seorang ahli peniagaan dan mencuri barangan bernilai RM7 juta miliknya, Mei lalu.
Yeyson Andres Rocha Garzon, 39, dan rakannya Julian David Serna Pena, 22, yang berasal dari Colombia memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dr. Azrol Abdullah dalam bahasa Inggeris.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama individu yang masih bebas melakukan pecah rumah milik ahli perniagaan lelaki berusia 45 tahun dan mencuri barangan bernilai RM7 juta, di sebuah rumah di Jalan Setia Murni, Bukit Damansara di sini pukul 10 malam pada 31 Mei lalu.
Justeru pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibacakan bawah Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara selama lima tahun dan boleh dikenakan denda.
Jika kesalahan yang dimaksudkan ialah untuk mencuri, maka tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun manakala kesalahan kali kedua atau seterusnya, boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Nursyuhada Abd. Rauf tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kedua-dua tertuduh merupakan warga asing selain tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Semasa prosiding, peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan akan menghantar representasi terhadap pertuduhan itu.
Azrol tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Ogos ini bagi sebutan semula kes.
Semalam media melaporkan seorang ahli perniagaan mengalami kerugian RM7 juta selepas rumahnya di Bukit Damansara, di sini, dipecah masuk empat warga Amerika Latin pada 31 Mei lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, kegiatan suspek ditumpaskan selepas polis menahan tujuh individu pada 6, 9, 11 dan 14 Jun lalu di sekitar ibu kota dan Bangkok, Thailand.








