PETALING JAYA: Polis selesai mengambil keterangan pendakwah, Firdaus Wong susulan tular video yang menasihatkan seorang lelaki mengenai cara menangani permintaan remaja bawah umur untuk memeluk Islam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata, pihaknya setakat ini merakam keterangan Firdaus serta pengadu yang membuat laporan polis.
“Kita telah ambil keterangan Firdaus semalam dan rampas telefon bimbit miliknya bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan sedang dilengkapkan namun ada beberapa tindakan termasuk pengesahan perlu dipohon kerana kenyataan dikeluarkan melalui media sosial,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Ditanya kemungkinan individu lain akan dipanggil bagi membantu siasatan, beliau memaklumkan pihaknya akan merujuk kepada pihak berkaitan.
Semalam polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan ke atas pendakwah terbabit susulan tular video kelihatan menasihatkan seorang lelaki mengenai cara menangani permintaan remaja bawah umur untuk memeluk Islam.
Shahrulnizam dilaporkan berkata, setakat ini empat laporan polis sudah diterima dan tiga individu sudah dirakam percakapan.
“Permohonan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ke atas TikTok yang dilihat oleh pengadu sudah dilakukan bagi tujuan mendapatkan pengendali dan pemiliknya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya. – UTUSAN










