PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah menghantar ‘warkah’ memohon menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas baginda menzahirkan rasa murka susulan hukuman Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ke atas Selangor FC (SFC).
Menurut Hamidin, beliau sudah menghubungi pihak Istana Selangor mengenai permohonan untuk menghadap Sultan Selangor dan akan menjelaskan mengenai perkara terbabit di hadapan baginda bagi menyelesaikan segala kemelut yang menimbulkan kemurkaan Baginda.
“Saya maklum dengan dukacita Tuanku Sultan Selangor mengenai perkara terbabit iaitu keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan saya sudah menghubungi pihak istana, semalam (kelmarin) untuk pertemuan menghadap Tuanku Sultan.
“Saya susuli hari ini (semalam) dengan warkah untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor. Insya-Allah, saya akan cuba dapat selesaikan untuk bertemu Tuanku Sultan Selangor dan memberi penjelasan,” kata Hamidin ketika ditemui pemberita pada pelancaraan Liga Wanita Nasional 2024, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Sultan Sharafuddin yang juga Penaung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) murka dengan keputusan ahli-ahli MFL serta ahli-ahli FAM khususnya Hamidin berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Sumbangsih pada 10 Mei lalu.-UTUSAN










