NRES isytihar perang sindiket import e-waste - Utusan Malaysia

NRES isytihar perang sindiket import e-waste

E-waste
NIK Nazmi Nik Ahmad meninjau e-waste yang ditemukan dalam salah sebuah daripada 301 kontena dekat Pelabuhan Barat, Pulau Indah di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengisytihar perang terhadap sindiket pengimportan sisa haram seperti barangan elektrik dan elektronik (e-waste) yang menjadikan negara ini sebagai sasaran atau ‘tong sampah’.

Kemasukan bahan buangan tersebut dikesan berlaku terutama bagi tempoh 21 Mac 2023 hingga 19 Jun lalu apabila sebanyak 301 kontena cuba dibawa masuk ke negara ini ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, menerusi pemeriksaan terhadap kontena-kontena tersebut, 106 daripadanya mengandungi e-waste dan selebihnya adalah skrap logam.

“Anggaran keuntungan kasar satu kontena ini boleh mencecah RM80,000. Kalau 106 bererti lebih RM8 juta keuntungan diperoleh sekiranya mereka (sindiket dan kilang haram) boleh proses sepenuhnya dan kita isytihar perang kepada mereka ini.

“Siasatan turut mendapati ada beberapa negara maju terutamanya yang kita terima maklumat di sana, ramai pihak mendakwa (mereka) memproses secara lestari atau menggunakan semula e-waste, sebaliknya tidak proses di sana dan hantar ke negara-negara membangun.

“Hal tersebut menjadi lebih serius apabila China mengetatkan kemasukan barangan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Pelabuhan Barat berhubung isu kemasukan kontena e-waste, hari ini.

Jelasnya, laporan operasi pada hari ini bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan JKDM akan dibawa ke mesyuarat Kabinet bagi mengenalpasti langkah peningkatan penguatkuasaan.

“Saya rasa dari segi dasar dan peraturan telah baik cuma penguat kuasaan dan cabaran yang perlu dilihat kita. Kerjasama harus dilakukan merentasi kementerian dan kita tidak boleh bergerak secara silo.

“Kalau JAS dan JKDM semata -mata tidak mampu. Kastam di pintu masuk dan JAS kawal selia alam sekitar. Namun kebenaran merancang, penguatkuasaan di peringkat local memerlukan pihak berkuasa tempatan,” tegasnya.

Malah, Nik Nazmi menyatakan, tindakan lebih progresif juga akan dilakukan terhadap kilang-kilang yang tidak berdaftar dan berselindung di sebalik perniagaan premis besi lusuh.

“Kita sedar mengenai perkara itu dan terima banyak aduan daripada masyarakat dan saya rasa apabila dibawa (isu sisa haram) ini kepada kabinet, pastinya akan dapat diatasi secara bersepadu.

“Kita berusaha kuat untuk keluar daripada kemelut ini (menjadi tong sampah sisa haram) namun ada beberapa cabaran dan tidak diselesaikan serta merta,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan penguatkuasaan terhadap pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan bermula pada 7 Julai ini apabila Dewan Rakyat meluluskan pindaannya dan ini sedang dalam proses pewartaan.

“Saya pun telah menandatangani penguatkuasaannya bermula 7 Julai. Jadi lepas ini, denda akan lebih tinggi iaitu sampai RM10 juta berbanding RM500,000 sekarang selain penjara. Ini usaha kita untuk bendung masalah ini (sisa haram dan kualiti alam sekitar),” katannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×