IPOH: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya dalam kejadian dekat Bercham, dua minggu lalu.
Tertuduh, S. Sugan, 36, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap S. Indra, 60, di sebuah rumah di Taman Restu Jaya, dalam daerah Kinta antara pukul 1 hingga 9.30 pagi, 12 Jun 2024.
Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuranisah Ismah Muhammad Husaini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Menerusi laporan media pada 12 Jun lalu, seorang wanita ditemukan mati dalam keadaan muka berlumuran darah dan tertiarap di belakang pintu ruang tamu rumah.
Siasatan kes tersebut pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.
Ia berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang mendapati mangsa maut kerana kecederaan di kepala dan leher akibat objek tumpul. – UTUSAN










