KANGAR: Keadaan kesihatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Wan Badariah Wan Saad semakin baik selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini pada 14 Mei lalu.
Beliau yang kini ditempatkan di wad biasa akan berehat buat sementara waktu daripada menjalankan tugas seterusnya memberi laluan kepada proses pemulihan kesihatannya.
Pada masa ini, tugas beliau akan dipangku oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri sedang menunggu perkembangan Wan Badariah dan tidak mahu tergesa-gesa bagi membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer itu mendapat rehat secukupnya terlebih dahulu.
“Buat masa ini beliau masih dalam tempoh berehat untuk pemulihan kesihatannya dan portfolio beliau akan dipangku oleh Megat Hashirat dan Wan Zikri,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan bagi meninjau keadaan mangsa dihempap pokok di HTF di sini, hari ini.
Menerusi penetapan tersebut, Megat Hashirat akan memangku portfolio Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat manakala Wan Zikri pula memangku portfolio Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai keadaan Wan Badariah yang terpaksa ditidurkan bagi memberi rehat secukupnya selepas mengalami komplikasi akibat penyakit tiriod.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, perjalanan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 juga tidak terganggu susulan perkembangan yang berlaku tersebut.
“Portfolio ditinggalkan Wan Badariah juga sudah dipangku buat sementara waktu malah pegawai-pegawai kerajaan juga turut turun padang bagi melaksanakan apa yang kita rancang dalam menjayakan TMPs,” katanya.








