PETALING JAYA: Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek mengingatkan pemain badminton negara agar lebih bersungguh-sungguh melakukan persediaan jika mahu bersaing merebut pingat emas Temasya Paris 2024 kerana cabaran dalam Olimpik jauh lebih besar.
Beliau berkata, impian memenangi pingat Olimpik bukanlah satu tugas mudah kerana persiapan yang lebih baik daripada negara lain menjadikan persaingan semakin sengit.
Menurut Misbun, beliau tidak bermaksud memandang rendah kemampuan pemain negara, sebaliknya mengingatkan mereka negara-negara lain tampak lebih bersedia untuk ke Paris.
“Bukan untuk memandang rendah keupayaan pemain kita, tetapi saya sekadar memberi peringatan bahawa barisan pemain dari negara lain tampak lebih bersedia menjelang temasya sukan terbesar dunia itu.
“Peluang untuk memenangi pingat ada, namun sangat sukar untuk diramalkan siapa yang mampu berjaya. Dalam kejohanan kelayakan sebelum ini, saya melihat pemain dari China dan Indonesia unggul dalam acara perseorangan, walaupun ketidakstabilan pemain mereka akibat terlalu banyak kejohanan masih menjadi faktor (menang),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Misbun juga menekankan bahawa undian memainkan peranan penting dalam memberikan peluang kepada setiap pemain.
“Negara lain boleh menjadi pencabar berdasarkan undian yang berlangsung nanti. Faktor undian penting dalam mencari peluang di Olimpik,” jelasnya.
Menambah kepada cabaran tersebut, Misbun mengingatkan bahawa Sukan Olimpik adalah acara yang sangat berprestij, yang mana setiap pemain, tidak kira tahap mereka, mempunyai matlamat yang sama untuk berjaya.
“Peluang pemain negara tetap ada, tetapi persoalannya adalah bagaimana mereka mahu mencapai prestasi terbaik pada hari pertandingan,” soalnya.
Dalam kalangan pemain yang diramal mampu memberi cabaran pingat termasuk pemain perseorangan, Lee Zii Jia, yang telah menunjukkan prestasi memberangsangkan akhir-akhir ini.
Zii Jia yang berada di ranking ketujuh dunia, menunjukkan perubahan memberangsangkan apabila meraih gelaran pada Terbuka Australia dan Terbuka Thailand pada tahun ini.
Bagaimanapun, Misbun sekali lagi menekankan bahawa cabaran di Sukan Olimpik jauh lebih besar dan tidak boleh dipandang ringan.
Selain Lee Zii Jia, Malaysia turut meletakkan sandaran kepada pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang pernah memenangi pingat gangsa di Tokyo 2020.
Wakil negara lain yang layak ke Paris ialah Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita), dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) juga perlu bersedia menghadapi cabaran besar untuk mencapai prestasi terbaik mereka di Paris nanti. – UTUSAN











