MHO gesa polis siasat skim pelabuhan Gigamax

MHO gesa polis siasat skim pelaburan Gigamax

HISHAMUDDIN Hashim (dua dari kiri) ketika sidang media serahan surat mohon perkembangan semasa dibawah seksyen 107a kanun tatacara jenayah berkenaan aduan dan laporan polis skim pelaburan mata wang kripto aplikasi gigamax kepada JSJK Bukit Aman di Menara KPJ. UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO) menggesa polis menyiasat dan segera mengambil tindakan ke atas semua individu terbabit dengan skim pelaburan mata wang kripto Gigamax.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, siasatan juga harus dilakukan ke atas sebuah pertubuhan berdaftar yang didakwa mempromosi pelaburan tersebut sehingga menyebabkan 99 mangsa membuat aduan kepada MHO mendakwa mengalami kerugian RM4.8 juta.

Menurut beliau, semua mangsa kini tertekan berikutan nasib mereka diibaratkan seperti ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ selepas terpedaya dengan pulangan keuntungan satu peratus setiap hari.

“Pada awalnya mangsa diminta memuat turun aplikasi Gigamax untuk melakukan pelaburan bagaimanapun mata wang kripto USDT yang diperoleh tidak boleh dikeluarkan.

“Mangsa kemudian disuruh memuat turun aplikasi Teramax kononnya bagi membolehkan pengeluaran wang kripto berkenaan.

“Tetapi mangsa diminta untuk membeli kad ‘Visa’ berharga AS$500 (RM2,355) kononnya bagi membolehkan pengeluaran,” katanya pada sidang media berhubung aduan skim pelaburan mata wang kripto di Menara KPJ di sini hari ini.

Hishamuddin berkata, sehingga kini tiada siapa yang mengaku bertanggung jawab sebagai pemilik aplikasi berkenaan malah pertubuhan yang kononnya mengajar teknik pelaburan menggunakan aplikasi Gigamax itu juga bersikap lepas tangan.

Menurutnya, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial ada memaklumkan kepada beberapa mangsa bahawa siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sedang dijalankan.

“Berdasarkan keputusan polis yang diterima oleh sebahagian mangsa adalah laporan polis mereka diklasifikasikan sebagai Rujuk Lain Agensi (ROA), di mana laporan berkenaan dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

“Perkara ini amat pelik dan bagi kes ini, mangsa dengan jelas menyatakan bahawa mereka ditipu dan diperdaya oleh sesetengah pempengaruh atau individu yang terkenal untuk menyertai skim pelaburan ini,” katanya .- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×