Pangsapuri ‘terbiar’ diubah suai jadi pusat hiburan tawar khidmat seks

Pangsapuri ‘terbiar’ diubah suai jadi pusat hiburan tawar khidmat seks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beberapa unit pangsapuri 18 tingkat di ibu negara yang terbiar rupanya `menyimpan rahsia’ dijadikan pusat hiburan yang menawarkan khidmat gadis pelayan pelanggan (GRO) dan seks kepada pelanggan `setia’.

Kegiatan itu terbongkar selepas diserbu Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menerusi Op Bersepadu Noda pada pukul 1 pagi semalam.

Operasi dengan kerjasama Bahagian D6, Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) JSJ Bukit Aman, Unit Anjing Pengesan (K9) serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu menahan 36 individu atas pelbagai kesalahan.

Pemeriksaan di premis hiburan yang lengkap dengan kamera litar tertutup (CCTV) itu terletak di tingkat lima, enam, lapan, sembilan dan 17.

Pusat hiburan itu beroperasi bermula pukul 6 petang hingga 8 pagi itu menawarkan khidmat GRO warga asing yang diuruskan seorang ‘mummy’ warga China.

Difahamkan, caj setiap bilik karaoke sekitar RM4,000 hingga RM8,000, selain GRO turut menawarkan khidmat teman berhibur dan seks dengan harga mencecah RM1,200.

Pelanggan juga didakwa turut ditawar dadah susulan penemuan barang terlarang itu. Hanya pelanggan tetap dibenarkan masuk bersosial di pusat hiburan yang `tersembunyi’ itu.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, seramai 54 individu diperiksa semasa serbuan sebelum 36 orang daripada yang diperiksa ditahan.

“Daripada yang ditahan membabitkan empat wanita warga asing iaitu dua warga China, Thailand (1), Vietnam (1). Mereka disyaki GRO manakala salah seorang wanita warga China berperanan sebagai ‘mummy’ dan pembantu pengurus premis pusat hiburan itu.

“Turut ditahan 31 warga tempatan termasuk 10 wanita,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, beberapa gram bahan disyaki dadah juga ditemui dalam serbuan terbabit iaitu ketamin, ekstasi dan jus MDMA.

Jelasnya, siasatan mendapati premis tersebut membabitkan sebuah pangsapuri yang diubah suai menjadi pusat hiburan dengan menjalankan aktiviti KTV dan penginapan bagi warga asing yang bekerja.

“Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×