KUALA LUMPUR: Sejumlah 652 kemalangan melibatkan pelbagai jenis kenderaan berat seperti lori kontena, lori kecil, bas ekspres bagi suku pertama 2024.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, 652 kemalangan itu melibatkan pecahan jenis kecederaan iaitu 287 maut, 95 cedera parah dan 270 cedera ringan.
“Kemalangan yang melibatkan kenderaan berat di Malaysia adalah berpunca dari kecuaian pemandu yang mengantuk, memandu melebihi had laju dibenarkan, kenderaan membawa lebih muatan dan kenderaan tidak diselenggara dengan baik.
“Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui agensinya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sentiasa melaksanakan kajian dari semasa ke semasa berhubung strategi yang terbaik bagi menangani isu kenderaan berat yang tidak mematuhi peraturan sehingga menyebabkan kemalangan di jalan raya.
“Salah satu tindakan utama yang dilaksanakan bagi menangani isu ini adalah dengan menggiatkan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan oleh pihak JPJ melibatkan peraturan had muatan kenderaan dan had laju bagi kenderaan berat,” katanya pada Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Hasbi menjawab soalan Tuan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta statistik dan punca kemalangan melibatkan kenderaan berat bagi suku pertama tahun ini serta tindakan kementerian dalam mengurangkan kemalangan melibatkan kenderaan berat.
Mengulas lanjut, Hasbi berkata, bagi tahun 2023, sejumlah 45,015 notis saman telah dikeluarkan melibatkan kesalahan muatan bahaya dan lebih muatan, manakala bagi 2024 sehingga April, sejumlah 9,214 notis saman telah dikeluarkan.
Selain itu, katanya, MOT bersama Kementerian Kerja Raya (KKR), dalam proses akhir untuk membangunkan sistem ‘High Speed – Weigh in Motion’ atau HS-WIM.
“Menerusi penggunaan sistem HS-WIM ini, aktiviti penguatkuasaan kenderaan berat boleh dilaksanakan secara masa sebenar atau automatik tanpa memerlukan kenderaan tersebut perlu berhenti untuk ditimbang.
“Penggunaan sistem HS-WIM juga akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada jumlah tenaga manusia atau anggota penguatkuasaan yang tinggi. Anggota penguatkuasa akan boleh melaksanakan aktiviti penguatkuasaan di lokasi-lokasi lain yang tidak dipasang sistem HS-WIM tersebut.
“Akhirnya, sistem HS-WIM ini dijangka dapat memperluaskan capaian, meningkatkan pematuhan dan memperkukuhkan lagi keberkesanan penguatkuasaan ke atas peraturan had muatan kenderaan motor serta menjadi penyelesaian jangka masa panjang dalam menangani isu had muatan kenderaan berat,” katanya. – UTUSAN










