KUALA LUMPUR: Takwim Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat diubah kepada suatu tarikh baharu setelah dipersetujui oleh Perdana Menteri selaku Ketua Majlis.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Datuk Johari Abdul berkata, tarikh baharu mesyuarat akan bermula pada 14 Oktober hingga 12 Disember selama 35 hari selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
“Notis mengenai perubahan tersebut telah dihantar kepada semua ahli yang berhormat pada Jumaat, 14 Jun,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 hari ini.
Terdahulu, Johari dan ahli-ahli Dewan Rakyat merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Senator Datuk Mutang Tagal dan Tan Sri Joseph Kurup.
“Saya mengharapkan seluruh ahli keluarga kedua-dua mendiang terus tabah dalam menghadapi situasi ini.
“Kepada semua Ahli Dewan, marilah kita berdiri dan bertafakur bagi memberi penghormatan kepada kedua-dua mendiang yang telah banyak berjasa kepada negara tercinta ini,” katanya. – UTUSAN










