Hak milik tanah: PHM minta penjelasan Selangor

Hak milik tanah: PHM minta penjelasan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Hijau Malaysia (PHM) mengesa kerajaan Selangor memberi penerangan berhubung tiga dokumen hak milik tanah dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling  kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) pada  7 Mei lalu.

Setiausaha PHM, Abdul Razak Ismail berkata, kerajaan Selangor wajar memaklum tujuan pemberian hak milik tersebut kerana jarang bangunan-bangunan milik kerajaan diberikan hak milik tanah. 

“Persoalannya, adakah kerajaan negeri merancang menjual plot-plot tanah tersebut pada masa akan datang dan kepada siapa?

“Kami juga ingin menarik perhatian kepada isu di mana pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 6 Jun lalu yang menegaskan bahawa kerja-kerja perobohan stadium tidak dapat dilaksanakan kerana pihak pemaju masih belum menghantar pelan pembangunan penuh projek secara rasmi kepada pihak MBSA.

“Siapakah  ‘pemaju’  sebenar projek Komplek Sukan Shah Alam (KSSA) ini? Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Lembaran Prospek Sdn. Bhd.  atau MRCB Builders Sdn. Bhd.?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, PHM turut mempersoal kegagalan pemaju untuk menghantar pelan pembangunan KSSA.

“Atas alasan apa pihak pemaju gagal menghantar pelan penuh pembangunan keseluruhan KSSA atau ada perancangan lain dirancang ke atas ketiga plot-plot tanah tersebut apabila kerja-kerja perobohan selesai dilaksanakan nanti?,” soalnya.     

Terdahulu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, proses meroboh  Stadium Shah Alam bagi pembangunan semula KSSA yang baharu belum dapat dilaksanakan.

Katanya, ia berikutan syarikat pemaju belum menyerahkan pelan pembangunan penuh projek di tapak stadium itu secara rasmi kepada MBSA. 

Pada Disember tahun lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, pihak MBSA telah mengeluarkan kelulusan kebenaran merobohkan Stadium Shah Alam dan kerja-kerja perobohan akan dilaksanakan selepas pemaju memenuhi keperluan yang diwajibkan pihak berkuasa tempatan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×