KOTA KINABALU: UMNO Sabah tidak akan bekerjasama dengan Parti Bersatu Sabah (PBS) berikutan didakwa sudah beberapa kali menikam Barisan Nasional (BN) dari belakang.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, PBS adalah satu-satunya parti yang UMNO tidak boleh bekerjasama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Mereka tikam BN dua tiga kali. Pada 1990an, parti itu keluar selepas penamaan calon dan mereka menang 14 kerusi Parlimen sebab mereka menipu BN. Hari ini pemimpinnya lantang menyatakan kita tolak UMNO sebab parti Malaya.
“Saya ingin jelaskan kepada PBS, kepada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), jangan main-main dengan UMNO Sabah, kita tidak gentar,” katanya dalam majlis perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Sepanggar di sini.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, UMNO Sabah telah bersedia untuk menghadapi PRN Sabah ke-17.
Kata beliau, Presiden UMNO juga telah berjanji pada pilihan raya akan datang, UMNO Sabah akan bertanding lebih banyak kerusi berbanding PRN lalu.
Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, menjelang PRN akan datang ramai yang bertanya siapa akan menjadi rakan kerjasama UMNO.
“Saya sudah cakap, Presiden sudah cakap, kita akan berkawan dengan parti yang ada kesetiaan dan ada kesamaan dengan kita. Kita tidak akan bersama parti yang tikam kita dari depan, dari belakang.
“Kita tidak akan tertipu lagi untuk kedua kali, ketiga kali, ke-10 kali, tidak lagi sebab UMNO ini parti yang matang,” katanya.
Pada PRN lalu, gabungan UMNO, PBS dan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta STAR di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya memenangi pilihan raya dengan 37 kerusi daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
Ketika itu, GRS menewaskan Warisan Plus yang terdiri daripada Parti Warisan, PKR dan DAP yang hanya memperoleh 20 kerusi. – UTUSAN










