MALAYSIA kini menduduki tempat ke-10 bagi kategori negara paling aman di dunia, selepas naik sembilan anak tangga dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2024.
Menurut GPI Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP) 2024, keamanan global merosot sebanyak 0.56 peratus tahun ini, menandakan kemerosotan untuk lima tahun berturut-turut.
Malaysia meningkatkan kedudukannya secara ketara berbanding pada kedudukan ke-19 dalam GPI tahun lalu.

Berbanding negara jiran, kedudukan Malaysia hanya beza lima anak tangga dengan Singapura yang menduduki tempat kelima, diikuti Indonesia (48), Laos (49), Kemboja (70) dan Thailand (75).
KEAMANAN ASIA PASIFIK MEROSOT
Laporan itu menyatakan kedudukan Malaysia dalam senarai lima teratas untuk keamanan, konflik berterusan dan ketiga terbaik dalam ketenteraan.
Di samping itu, Asia Pasifik mencatatkan sedikit kemerosotan sebanyak 0.1 peratus dalam aspek keamanan dalam GPI 2024, namun tetap kekal sebagai wilayah kedua paling aman di dunia sejak 2017.
Malaysia disenaraikan sebagai negara ketiga paling aman di Asia Pasifik dengan New Zealand mendahului senarai, diikuti Singapura pada kedudukan kedua.
GPI juga mendedahkan dunia semakin tidak aman sejak 16 tahun lalu, dengan purata skor negara menurun sebanyak 4.5 peratus sejak indeks itu dimulakan pada 2008.
YEMEN NEGARA PALING TIDAK AMAN
Iceland mengekalkan kedudukannya sebagai negara paling aman di dunia, diikuti Ireland, Austria, New Zealand dan Singapura.
Sementara itu, Yemen direkodkan sebagai negara paling tidak aman di dunia, diikuti Sudan (162), Sudan Selatan (161), Afghanistan (160) dan Ukraine (159).
Daripada 163 negara yang disenaraikan dalam GPI, 95 merekodkan kemerosotan, 66 menyaksikan peningkatan dan dua lagi tiada perubahan.
Sebanyak 17 daripada 23 petunjuk GPI semakin merosot antara 2008 dan 2023, manakala tujuh bertambah baik.
KEDUDUKAN GPI 2024
SINGAPURA………………………………………..(5)
MALAYSIA…………………………………………(10)
INDONESIA…………………………………….48)
LAOS………………………………………………………….(49)
KEMBOJA………………………………………….(70)
THAILAND………………………………………..(75)
GPI adalah pengukur utama keamanan global, yang mengemukakan analisis dipacu data komprehensif dalam trend keamanan, kepentingan ekonomi dan strategi memupuk masyarakat harmoni.
Tahun ini adalah edisi ke-18 GPI, yang meliputi 163 negara merdeka mengikut tahap keamanan masing-masing merangkumi 99.7 peratus populasi dunia. – UTUSAN










