IPOH: “Saya menyesal bagi anak pada dia, tidak sangka anak akan diserahkan semula dalam keadaan tidak bernyawa.”
Demikian luahan Siti Nurhidayatul Akmar Mohd. Zamry, 28, ibu kepada Iman Adelia Yusullah, 5, yang meninggal dunia akibat didera ibu angkatnya dalam kejadian di Jalan Kledang Raya 23, Taman Malcop, Silibin di sini, minggu lalu.
Menurut Siti Nurhidayatul Akmar, anak ketiga daripada empat beradik itu diserahkan kepada rakan baiknya, Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah, 27, untuk dijaga pada April lalu.
Katanya, dia menyerahkan anaknya di bawah jagaan wanita berkenaan kerana tertuduh tidak mempunyai anak walaupun sudah lama berkahwin.
“Dua ke tiga hari sebelum meninggal dunia, dia ada kata mahu hantar semula anak pada saya, tetapi tidak sangka saya dapat anak dipulangkan sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui selepas prosiding pendakwaan terhadap Wan Fatimah Zahra di Mahkamah Majistret Ipoh di sini semalam.
Siti Nurhidayatul Akmar dari Felda Chini 2, Pahang itu hadir ke mahkamah ditemani beberapa ahli keluarga termasuk ibunya, Zanuriyah Mohd. Madzlan, 65.
Terdahulu, tertuduh yang juga suri rumah itu didakwa di hadapan Majistret S. Punitha kerana menyebabkan kematian terhadap Iman Adelia di sebuah rumah di Taman Kledang Raya 23, Taman Malcop di sini antara 5 hingga 10 Jun 2024.
Tertuduh, Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah, 27, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan terhadapnya.
Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan. – UTUSAN










