SOALAN
SUAMI saya panas baran, dia pernah memalukan saya depan khalayak ramai dan keluarga mentua. Marah dan memaki saya seolah-olah saya
tiada perasaan sehingga saya malu dan takut setiap kali diajak keluar bersama.
ISTERI TERLUKA
JAWAPAN
Keharmonian dalam sesebuah keluarga bermula daripada ketua keluarga. Baik suaminya, maka harmonilah keluarga.
Justeru Islam meletakkan kepimpinan atau ketua keluarga kepada seorang bapa yang bertanggungjawab untuk memastikan keluarganya dalam keadaan aman dan diberkatiNya.
Hakikat yang tidak dinafikan, memiliki suami yang pandai memimpin keluarga pasti menjadi dambaan para isteri.
Namun bagaimana pula apabila suami yang sepatutnya menjaga keluarga tidak menjadi pemimpin dan bersikap panas baran?
Berada dalam perhubungan yang penuh ketegangan dan kemarahan sangat memberi kesan negatif kepada kesihatan fizikal dan mental.
Berikut beberapa langkah yang boleh puan pertimbangkan:
Berkomunikasi – Berusaha untuk berbincang dengan suami semasa keadaan tenang dan tenteram. Nyatakan perasaan puan dengan jujur
dan jelas, tanpa menyalahkan atau memprovokasi. Katakan bagaimana tindakan dan kata-kata suami mempengaruhi puan secara fizikal dan mental.
Penjagaan diri – Belajar untuk lebih menghargai diri. Berpadapada dalam mencintai dan menyayangi orang lain agar anda tidak mudah kecewa.
Fokus pada diri dengan belajar mencari ilmu baharu untuk membina keyakinan diri dan kesejateraan fizikal serta mental.
Batasan yang jelas – Tentukan batasan yang jelas tentang apa yang dapat dan tidak dapat diterima dalam hubungan anda. Jelaskan kepada suami bahawa sikap suka merendahrendahkan dan bersikap kasar kepada isteri adalah perbuatan yang tidak dapat diterima.
Bantuan profesional – Pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada kaunselor perkahwinan. Mereka boleh membantu puan dan suami mencari jalan mengatasi masalah kemarahan dan memperbaiki masalah yang kalian hadapi.
Menilai keputusan dalam perhubungan – Pertimbangkan perhubungan rumahtangga puan. Sejauhmana kesediaan suami untuk berubah dan berkerjasama untuk memperbaiki hubungan. Jika tidak, fikirkan kebahagiaannya dan kesejahteraan jangka panjang puan dan anak-anak. Ini adalah keputusan yang sangat peribadi dan harus dibuat dengan pertimbangan yang sebaik mungkin.
Berdoa – Mendekatkan diri kepada Allah. Yakinlah bahawa seandainya suami itu, milik puan, dia pasti akan kembali ke pangkal jalan. Selalu mendoakan suami agar beliau dapat mengubah diri untuk keluarga.
Keharmonian rumahtangga memerlukan pengorbanan kedua belah pihak. Tanpa kerjasama yang baik, kesepakatan dan kebahagiaan sukar dirasai. Oleh itu, buatlah keputusan yang bijak. Puan berhak merasa bahagia dan dihormati.










