Saham Agricore bermula cemerlang di Pasaran ACE

Saham Agricore bermula cemerlang di Pasaran ACE

OON Boon Khong (tiga dari kiri) pada majlis penyenaraian Agricore di Pasaran ACE Bursa Malaysia, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agricore CS Holdings Berhad (Agricore) memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan cemerlang pada 79 sen, mewakili premium 58 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 50 sen dengan 6.83 juta saham diniagakan pada loceng pembukaan.

Pengarah Urusan Agricore, Oon Boon Khong berkata, pembekal bahan makanan itu berjaya mengumpul RM25.9 juta daripada pelaksanaan IPO, terutamanya untuk membeli inventori berjumlah RM18.9 juta bagi menyokong pertumbuhan perniagaannya.

“Daripada hasil itu, RM2.7 juta akan diperuntukkan untuk meningkatkan kapasiti penyimpanannya dengan menubuhkan fasiliti penyimpanan serantau baharu di Klang, Selangor, dengan anggaran keluasan binaan 30,000 kaki persegi.

“Sejumlah RM600,000 pula akan diperuntukkan untuk mengambil kakitangan tambahan di Premis Bukit Minyak, diikuti RM3.7 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.

“Berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 202.8 juta saham, Agricore dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM101.4 juta selepas penyenaraian ini,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, beliau berkata, Agricore turut menyasarkan mengembangkan pangkalan pelanggan dalam segmen penyediaan sumber dan pengedaran dengan meningkatkan tahap inventori di premis Bukit Minyak dan fasiliti penyimpanan serantau baharunya di Klang, Selangor.

“Menerusi tahap inventori yang lebih tinggi, syarikat dapat memacu pertumbuhan hasilnya dengan meningkatkan jumlah jualan kepada pelanggan sedia ada serta mendapatkan pelanggan baharu.

“Dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 hingga tahun kewangan 2023, hasil yang dijana daripada segmen penyediaan sumber dan pengedaran mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 11.4 peratus daripada RM86.6 juta kepada RM119.8 juta.

“Ini menunjukkan peningkatan lebih daripada 88 peratus daripada pendapatan tahunan syarikat.

“Oleh itu, penting bagi kami untuk mengekalkan tahap inventori yang mencukupi untuk memenuhi permintaan daripada pelanggan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Agricore memperoleh kelebihan daya saing dari segi bekalan dan strategi harga.

“Ini disebabkan bekalan produk tertentu sangat bergantung pada musim serta pendedahan kepada naik turun harga barang dan mempunyai tahap inventori yang lebih tinggi dalam keadaan pasaran yang tidak menggalakkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×