KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM83.7 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama 2024, naik 13 peratus berbanding RM74.1 bilion yang dicatatkan sepanjang tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pencapaian suku pertama 2024 itu turut menyaksikan sejumlah 29,027 pekerjaan baharu diwujudkan daripada 1,257 projek.
“Ini menunjukkan keyakinan pelabur terutama pelabur domestik yang menyumbang 44 peratus daripada jumlah pelaburan pada tiga bulan yang pertama.
“Nampaknya dari segi momentum ia berterusan, namun mungkin ada banyak isu seperti perdagangan geopolitik yang berlaku serta peperangan China dan Amerika Syarikat (AS).
“Kita berada di landasan yang betul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan The Centralised Sustainability Intelligence (CSI) Solution oleh Bursa Malaysia di sini, semalam.
Jelas Tengku Zafrul, prestasi memberangsangkan itu disokong oleh peningkatan 23.8 peratus dalam pelaburan asing dan lonjakan 1.6 peratus dalam pelaburan domestik, bersama-sama dengan kenaikan 14.6 peratus dalam bilangan peluang pekerjaan.
Katanya, daripada RM83.7 bilion pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2024, pelaburan asing menyumbang 56 peratus (RM47 bilion), manakala baki 44 peratus (RM36.7 bilion) datang daripada pelaburan domestik.
Beliau berkata, Austria mendahului senarai pelabur asing dengan margin yang sangat luas, dengan RM30.1 bilion (64 peratus) dalam pelaburan yang diluluskan, diikuti oleh Singapura (RM5.6 bilion), Belanda (RM3.6 bilion), China (RM3.4 bilion) dan AS (RM632.8 juta).
“Mengikut negeri, Kedah mencatatkan nilai tertinggi pelaburan yang diluluskan (RM31.3 bilion), diikuti oleh Kuala Lumpur (RM21.5 bilion), Selangor (RM12.4 bilion), Sarawak (RM4.2 bilion), dan Johor (RM4.1 bilion),” katanya.
Tengku Zafrul berkata, sektor sasaran yang ditetapkan oleh Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) menyumbang RM53.7 bilion, mencakupi 64.1 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan merentas 252 projek yang dijangka mewujudkan 17,056 peluang pekerjaan baharu
“Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, RM47.5 bilion, atau 56.8 peratus, yang terletak di bawah bidang kuasa MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), meliputi 500 projek dengan 18,517 peluang pekerjaan baharu,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, sektor pembuatan di negara mengalami momentum yang ketara dengan kelulusan pelaburan sebanyak RM43.0 bilion, mencatatkan peningkatan yang luar biasa 174.9 peratus berbanding dengan suku pertama tahun lepas.
“Sebanyak 252 projek telah diluluskan, yang akan mewujudkan 17,991 peluang pekerjaan baharu. Melalui jumlah ini, 80.8 peratus (14,528) adalah untuk rakyat Malaysia, dengan 50.6 peratus dalam peranan pengurusan, profesional, teknikal, penyeliaan dan buruh mahir.
“Pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang RM38.2 bilion atau 88.8 peratus daripada jumlah yang diluluskan pelaburan dalam sektor pembuatan. Pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang RM4.8 bilion atau mewakili 11.2 peratus daripada jumlah keseluruhan,” katanya.-UTUSAN









