Sahira kendali kapal persiaran mewah

Sahira kendali kapal persiaran mewah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN ramai membayangkan sebuah kapal persiaran besar dan mewah dikemudi kelasi lelaki. 

Tetapi tidak di Celebrity Beyond, kerana kapal ini memiliki pengemudi wanita yang berusia 28 tahun. 

Ketua Pegawai Celebrity Beyond, Sahira Sha’ri sudah belayar ke puluhan negara dan mengambil bahagian dalam operasi menyelamat di laut. 

Kapal persiaran mewah dimiliki Celebrity Cruises itu dilengkapi dengan 17 dek dan boleh menampung kapasiti hampir 4,000 penumpang serta 1,400 anak kapal. 

Bukan hanya Sahira, kapal ini turut diterajui seorang kapten wanita, Kate McCue, pempengaruh media sosial warga Amerika dengan lebih 950,000 pengikut Instagram dan tiga juta peminat di TikTok. 

ENAM HINGGA SEMBILAN BULAN DI KAPAL

Sebagai salah seorang Ketua Pegawai Celebrity Beyond, gadis asal Singapura ini adalah sebahagian daripada pasukan pengemudi yang bertanggungjawab bagi tugas navigasi, komunikasi dan keselamatan kapal serta penumpangnya. 

Beliau menyelia pelbagai tugas operasi, termasuk menguruskan operasi dek harian, menjalankan pemeriksaan berjadual ke atas tangki kapal, galei dan kawasan lain serta menerajui pasukan kelasi, pegawai rendah dan kakitangan keselamatan untuk memastikan kelancaran serta keselamatan penumpang kapal sepanjang pelayaran.

Sahira bekerja 10 hingga 12 jam sehari, dengan setiap kontrak antara enam hingga sembilan bulan. 

Sepanjang tempoh itu, beliau tinggal di atas kapal Celebrity Beyond, belayar dari pelabuhan ke pelabuhan mengikut jadual pelayaran, seperti di Bahamas dan Kepulauan Cayman di Caribbean. 

Biasanya waktu rehat selama tiga bulan diluangkan bersama keluarga di Singapura. 

 

MINAT BERBEZA 

Sebelum menyertai Celebrity Beyond pada 2021, Sahira yang memiliki diploma dalam pengajian nautika dari Politeknik Singapura, bekerja di kapal kargo dan pedagang, lazimnya menjadi satusatunya pelaut wanita dalam kalangan berpuluh-puluh lelaki. 

Sejak menamatkan pengajian pada 2017, Sahira menghabiskan masa berbulanbulan di laut dan atas kapal, menjalankan kerja mencabar secara  zikal dan belayar ke negara yang berbeza di seluruh dunia. 

“Ia bukan kehidupan untuk semua orang. Sejak muda, saya tahu saya tidak sesuai untuk kehidupan konvensional. 

“Saya tidak dapat bayang melakukan kerja di pejabat, tinggal di rumah saya di Singapura kerana saya tahu saya mahu mengembara dan mempunyai minat berbeza. 

“Saya masih ingat melihat kapal pesiaran di Marina South Pier dan memikirkan betapa kagumnya jika saya dapat bekerja di kapal sebegitu,” katanya kepada CNA Women. 

Namun, beliau mengakui berjauhan dengan keluarga sepanjang tahun bukan sesuatu yang mudah. 

Anak sulung daripada dua beradik ini sering terlepas acaraacara penting, seperti perkahwinan adik lelakinya, kelahiran anak saudara dan banyak majlis rumah terbuka sempena Hari Raya. 

 

DIBERHENTI KERJA 

Sebelum menyertai Celebrity Cruise, apabila pandemik Covid-19 melanda pada 2020, Sahira diberhentikan sebagai pegawai ketiga dengan sebuah syarikat perkapalan, yang berperanan untuk membantu pegawai kanan menjalankan tanggungjawab di atas kapal. 

“Sukar untuk mencari pekerjaan kerana berdasarkan pengalaman saya, tidak banyak syarikat perkapalan akan mengambil wanita sebagai pegawai di atas kapal. 

“Saya memohon banyak pekerjaan dan walaupun saya tidak mempunyai pengalaman di kapal persiaran, saya tetap mencubanya,” katanya. 

Pemberhentian itu membawa rahmat apabila pada tahun 2021, Celebrity Cruises, anak syarikat Royal Caribbean, memulakan kempen untuk merekrut pekerja baharu secara besar-besaran sebagai persiapan untuk kapal terbaharu mereka, Celebrity Beyond. 

DUA KALI NAIK PANGKAT 

Sahira dinaikan pangkat sebanyak dua kali sejak menyertai Celebrity pada Oktober 2021 – sebagai pegawai pertama pada September 2022 dan kemudian jawatan ketua pegawai pada Disember tahun lalu. 

Sebagai pegawai kanan, tugasnya turut melibatkan usaha kemanusiaan di laut dan pengerahan helikopter untuk kecemasan perubatan. 

“Kerja itu mungkin seolah-olah membosankan, tetapi hakikatnya sentiasa ada sesuatu yang unik setiap hari.

“Saya adalah sebahagian daripada operasi menyelamat bot terbiar dari Cuba dalam perjalanan ke Amerika Syarikat (AS), dan saya juga terlibat dalam pemindahan pesakit melalui helikopter sewaktu kecemasan. 

“Walaupun sumbangan ini hanya sedikit, ia menjadikan pekerjaan saya lebih menarik dan bermakna,” katanya. 

Salah satu aspek menarik bagi Celebrity Beyond ialah kebanyakan pasukan dek adalah wanita, dan ia jauh berbeza sewaktu Sahira menjadi satusatunya wanita di atas kapal. 

“Ia memang berbeza dari segi cara sesuatu isu diselesaikan dan cara kami menangani masalah di atas kapal kerana terdapat lebih banyak empati dan persahabatan antara kami kukuh,” katanya. 

Sebagai seorang pegawai Melayu-Islam dari Singapura, Sahira juga membantu memperluaskan persepsi rakan sekerjanya mengenai negara republik itu, yang tidak banyak diketahui oleh mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×