HAMBURG: Pasukan kerdil kumpulan B, Albania berjaya mengikat Croatia 2-2 dalam pertemuan yang mengagumkan malam tadi.
Perlawanan seri terbabit menyaksikan kedua-dua pasukan perlu gah dalam aksi terakhir peringkat kumpulan untuk menempah tiket ke peringkat kalah mati.
Albania bermula cemerlang apabila membuka jaringan seawal minit ke-11 menerusi tandukan hebat daripada Qazim Laci sehingga tiada gol dihasilkan pada babak pertama.
Separuh masa kedua menyaksikan, Croatia membuka langkah kanan apabila Andrej Kramaric menyamakan kedudukan pada minit ke-74 dengan rembatan rendah yang kencang.
Bagaimanapun, Albania terpaksa akur apabila Klaus Gjasula memasukkan bola ke gawang sendiri sekali gus memberi laluan kepada Croatia untuk mendahului pada minit ke-76.
Albania terus mengasak kubu pertahanan Croatia sehingga Gjasula menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol pada masa kecederaan.
Pada aksi terakhir kumpulan B menyaksikan Croatia bakal bertemu Itali manakala Albania meneruskan cabaran getir menentang Sepanyol. – AGENSI











