PASIR MAS: Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) menyembelih seekor lembu dari baka Brahman seberat 410 kilogram (kg) bagi meraikan pengamal media di negeri ini.
Program julung kali dengan kerjasama Ladang Lembu Kelantan turut meraikan golongan asnaf yang kurang berkemampuan di sekitar negeri ini.
Presidennya Muhammad Yatimin Abdullah berkata, walaupun sibuk dengan tugasan hakiki sebagai pengamal media namun ibadah korban tetap menjadi keutamaan.
“Alhamdulillah hari ini kami dapat meluangkan masa bergotong-royong melapah daging beramai-ramai untuk diagihkan kepada ahli serta asnaf.
“Walaupun penat, namun rata-rata ahli yang menjayakan gotong-royong ini puas dapat memberikan sumbangan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pauh di sini hari ini.
Muhammad Yatimin memberitahu, pihaknya bercadang untuk menjadikan program ini sebagai acara tahun pada masa hadapan.
Katanya, selain itu pengamal media bukan Islam turut diberikan sumbangan berupa barangan lain bagi menggantikan daging korban tersebut.
Sementara itu, Seorang warga emas Hanapi Abu Bakar, 76, berkata, dia hanya mampu mengucapkan syukur selepas terpilih sebagai salah seorang penerima sumbangan.
“Alhamdullilah rezeki buat saya dapat merasa daging korban.
“Bukan semua mampu membelinya daging tetapi kali ini ahli keluarga saya dapat menikmati daging tersebut,”ujarnya.-UTUSAN










