HULU TERENGGANU: Dua rakan karib yang terbunuh selepas motosikal dinaiki mereka terbabas di Kampung Pauh dekat sini, Ahad lalu pernah berseloroh ingin mati bersama tiga hari sebelum tragedi meragut nyawa mereka.
Dalam kemalangan pada pukul 4.50 petang itu, Mohd. Faris Mohd. Zulkifli, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Muhamad Darwish Ezariff Mohd. Khairul Azuan, 16, di Hospital Hulu Terengganu.
Abang kepada Darwish Ezariff, iaitu Muhammad Danish Ezany berkata, gurauan itu dinyatakan petang Khamis lalu di rumahnya.
Ceritanya, hubungan adiknya dengan Mohd. Faris begitu akrab sejak bangku sekolah dan dianggap seperti adik-beradik.
“Tiga hari sebelum kejadian Mohd. Faris ada datang rumah. Ketika itulah adik saya bergurau ajak mati bersama dan dia terus kata ya sebagai tanda setuju. Kedua-duanya saling ketawa selepas itu.
“Adik saya seorang yang periang, kelakar. Tidak sangka gurauan mereka untuk jadi kawan sehidup semati serta ingin meninggal bersama-sama jadi kenyataan.
Kedua-dua rakan karib itu merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jenagur di sini.
Kata Danish Ezany, sebagai anak sulung, hubungannya dengan adiknya begitu rapat dan mereka berdua sering berkongsi banyak perkara termasuk hal-hal peribadi.
“Pada hari kejadian, adik saya ke Kuala Berang selepas zuhur membeli barangan kereta. Cuma kali pertama itu dia pergi seorang diri.
“Lebih kurang pukul 4.15 petang. sekali lagi dia ingin ke Kuala Berang untuk tukar barang dan ajak Mohd. Faris temankan. Terkejut saya apabila terima panggilan mereka berdua kemalangan.
“Saya bergegas ke lokasi kejadian dan sewaktu dalam ambulans ke hospital, saya sempat ajarnya mengucap,” katanya.
Kedua-dua jenazah dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lerek, semalam. – UTUSAN










