Baran dikaitkan masalah mental?

Baran dikaitkan masalah mental?

Baran boleh dikaitkan dengan penyakit mental kerana melibatkan gangguan emosi seperti gangguan kemarahan dan keperibadian.- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dipukul, ditampar dan dimaki adalah rutin harian kehidupan seorang wanita apabila bersama pasangan atau suami yang panas baran.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nini (bukan nama sebenar) tidak menyangka suami yang dinikahinya itu seorang lelaki yang panas baran dan kaki pukul.

“Kami berkenalan tidak lama kemudian pilih untuk berkahwin. Di awal perkenalan, ‘dia’ sangat baik, apabila sudah kawin saya mula nampak perangainya yang sebenar,” katanya.

Ceritanya, selepas kahwin suaminya sangat mudah untuk ‘naik tangan’ apabila ada perkara yang tidak memuaskan hatinya dan menyebabkan pertengkaran berlaku.

“Kadang-kadang isunya kecil sahaja seperti saya terlupa untuk menutup lampu, kami bergaduh sehingga ‘dia’ sanggup melempang dan menghentak kepala saya menggunakan ‘powerbank’,” jelasnya.

Katanya, pernah juga dia melarikan diri ke rumah rakan-rakan dan ahli keluarga tetapi akhirnya tetap memilih untuk kembali ke pangkuan suami atas alasan cinta.

Tambahnya, dia juga sedaya upaya mencuba untuk mengubah sikap panas baran suaminya itu tetapi gagal yang akhirnya mereka memilih untuk berpisah.

Berbeza dengan seorang lagi mangsa, apabila suami wanita itu mula berubah menjadi seorang yang panas baran apabila terjebak dengan najis dadah.

Hafiza (bukan nama sebenar) tidak menyangka hidupnya bersama suami yang betul-betul menyayanginya berubah sekelip mata apabila dia mula terbabit dengan najis dadah.

Katanya, perkara itu bermula semasa pandemik Covid-19. Disebabkan tekanan dibuang kerja, suaminya itu mula bergaul dengan orang yang salah dan sering keluar lewat malam.

“Pernah dia melempar barang-barang di rumah dan bertindak seperti orang gila dengan memukul saya sekiranya tidak memberikannya duit untuk membeli bahan terlarang itu,” katanya.

Bukan itu sahaja, dia juga pernah mengugut untuk membunuh kesemua ahli keluarga yang ada di rumah kerana mereka cuba menghalangnya.
Disebabkan kejadian itu, dia menjadi trauma melampau dan akhirnya memilih untuk berpisah dengan suami.

Mengulas mengenai isu baran, Pakar Psikologi Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Sa’ad berkata, baran merupakan satu reaksi yang melibatkan kemarahan yang menyebabkan tindakan agresif atau keganasan.

Dr. Fauziah berkata, dalam sesetengah kes, baran boleh dikaitkan dengan penyakit mental kerana melibatkan gangguan emosi seperti gangguan kemarahan dan keperibadian.

“Banyak juga faktor yang menyumbang kepada masalah baran antaranya trauma semasa zaman kanak-kanak.

“Sebagai contoh, mungkin masa kecil, mangsa mungkin pernah ditinggalkan ahli keluarga, diabaikan atau terdedah dengan suasana keluarga yang tidak baik dan penuh kekerasan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Zulfikar Ahmad berkata, langkah terbaik bagi merawat masalah baran adalah dengan bertemu pakar-pakar kaunseling.

“Ramai yang tidak sedar sebenarnya masalah baran ini memerlukan rundingan dan rawatan daripada pakar dan menganggap baran boleh dirawat sendiri tetapi sebenarnya tidak,” jelasnya.

Sebab itu, pesakit yang menghidap baran ini perlu cepat-cepat datang dan menerima konsultasi pakar kaunseling dan akan ada rawatan yang diberikan sesuai dengan keadaan pesakit.

“Banyak kaedah yang kita boleh lakukan antaranya melalui program pengurusan kemarahan dan jangan mendekati atau mengambil bahan terlarang,“ katanya.

Setakat ini, melalui statistik yang dikeluarkan pihak polis, jumlah isteri yang terlibat dan menjadi keganasan rumah tangga disebabkan kes suami baran semakin meningkat bermula tahun 2021 sehingga 2023.

Dilaporkan, terdapat 1,716 kes diterima dan semakin meningkat kepada 1,076 pada tahun 2022 dan 1,406 kes pada tahun 2023.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri berkata, kementeriannya memandang serius isu baran dan bekerjasama dengan agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memberi pusat perlindungan kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga terutamanya melibatkan kecederaan fizikal.

“Terdapat empat masjid di Kuala Lumpur dan satu masjid Perlis dijadikan pusat transit sementara serta 12 lagi masjid dijadikan sebagai pusat aduan,” katanya.

Namun, jelas Nancy, lokasi sebenar kedudukan masjid yang dijadikan sebagai tempat perlindungan tidak didedahkan secara umum bagi menjamin keselamatan mangsa.

Beliau turut memaklumkan mangsa atau pengadu juga boleh memanfaatkan Talian Kasih iaitu 15999, di mana perkhidmatan itu beroperasi 24 jam setiap hari yang berfungsi untuk mengemukakan sebarang aduan mahupun permohonan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×