PETALING JAYA: Elaun terlalu rendah diterima guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang tidak sepadan dengan keadaan ekonomi semasa antara faktor keperluan mewujudkan skim gaji bagi golongan itu.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbang cadangan mewujudkan skim gaji itu bagi memastikan keselesaan hidup guru-guru KAFA dapat ditambah baik.
“Memang perlu disemak atau dipertimbang untuk mereka menerima skim gaji kerana elaun yang ada terlalu rendah.
“Guru-guru KAFA ini mengajar tentang agama Islam dan mereka juga sebenarnya mahu mendapatkan pendapatan yang lebih baik berbanding sekarang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan kerajaan perlu segera melaksanakan skim gaji untuk guru KAFA bagi memastikan sistem pendidikan tersebut kekal utuh.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB), Mohd. Azizee Hasan berkata, guru KAFA sejak dahulu lagi tidak dibayar gaji tetapi elaun sahaja yang mana sekitar RM1,000 sebulan.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, isu berhubung latar belakang pendidikan guru-guru KAFA tidak perlu lagi dibangkitkan.
Malah, beliau yakin cadangan mewujudkan skim gaji untuk guru KAFA tidak mendapat tentangan daripada mana-mana pihak termasuk kumpulan guru di sekolah kebangsaan.
“Memang tentangan itu saya tidak nampak setakat ini. Guru-guru tidak perlu risau sangat, mereka sudah mendapat gaji yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN










