PERDEBATAN berkaitan konsep bina dan jual atau jual dan bina sudah lama menjadi topik perbincangan dalam industri hartanah di Malaysia.
Kedua-dua konsep tersebut mempunyai pro dan kontra masing-masing iaitu bina dan jual dilihat lebih memberi kelebihan dan jaminan kepada pembeli, manakala jual dan bina pula dapat memanfaatkan pemaju dari segi aliran tunai semasa proses pembinaan dijalankan.
Pengerusi Eksekutif LBS Bina Group Berhad (LBS), Tan Sri Ir Dr. Lim Hock San berkata, konsep bina dan kemudian jual untuk projek pembangunan hartanah kediaman merupakan satu alternatif yang baik untuk bakal pembeli rumah, terutama sekali apabila keadaan pasaran matang dan berkembang baik.
Katanya, sebagai pemaju yang mengutamakan keperluan rakyat, LBS mengambil pendekatan positif dan menyokong sebarang usaha yang memberi faedah kepada rakyat.
“LBS berpendapat bahawa konsep ini boleh digunakan di Malaysia untuk mengatasi masalah projek yang terbengkalai atau tergendala.
“Terdapat beberapa kebaikan yang boleh diperoleh dengan menggunakan konsep ini, antaranya membolehkan projek dibangunkan dan dijual kepada pembeli dengan cepat.
“Ini dapat membantu mengurangkan kesan negatif projek yang terbengkalai terhadap pembangunan dan ekonomi setempat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai kekangan yang mungkin timbul daripada konsep bina dan jual kepada pemaju, beliau berkata, pemaju perlu melihat keseluruhan faktor seperti kos, berikutan modal yang besar diperlukan sebelum projek dapat dijual.
Jelasnya, pemaju mungkin menghadapi kesukaran untuk mendapatkan modal yang mencukupi terutamanya jika mereka memerlukan pelaburan tambahan untuk memulakan atau menyiapkan projek yang terbengkalai ini.
“Selain dari itu, pemaju turut perlu meneliti isu tanah, kelulusan, persaingan, isu pematuhan dan risiko-risiko yang terlibat semasa proses pembinaan.
“Pasaran hartanah sangat dipengaruhi oleh faktor-faktor ekonomi dan pasaran yang tidak dapat diramalkan. Krisis ekonomi, perubahan dalam kadar faedah atau perubahan dalam dasar kerajaan boleh memberi kesan negatif kepada projek bina dan jual,” ujarnya.
Hock San berkata, kerajaan disarankan agar memperhalusi penyelarasan dasar yang merangkumi sistem jaminan kewangan untuk melindungi pembeli hartanah selain menjalin
kerjasama erat dengan pemain industri hartanah, termasuk badan pemaju.
Jelasnya, ini untuk memastikan amalan terbaik diikuti dan pembeli dilindungi dengan sewajarnya.
“Langkah-langkah ini penting untuk memastikan keadilan dan kepercayaan dalam pasaran hartanah serta untuk melindungi pembeli hartanah dari risiko dan penipuan,” tambahnya.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pastinya konsep bina dulu dan kemudian jual memberikan kelebihan dan melindungi para pembeli, namun konsep ini jarang dilaksanakan di Malaysia.
Katanya, ini disebabkan industri hartanah negara memberi lebih dorongan kepada pemaju kerana permintaan pembelian rumah sangat tinggi di Malaysia iaitu para pemaju boleh bergantung kepada sistem pembiayaan yang disokong oleh bank-bank di Malaysia.
“Selain itu, pemaju dan kontraktor juga mahu mengunci harga barang binaan yang naik setiap tahun, simen dan besi terutamanya dengan wang pendahuluan yang diperolehi dari pinjaman bank oleh pembeli secara progresif.
“Dengan cara ini, para pemaju dan kontraktor dapat membina projek perumahan yang besar secara berskala besar dan menikmati kos pembinaan yang lebih rendah,” katanya.
Tambahnya, bagi pembeli yang tidak yakın dengan pemaju yang menjual dengan konsep jual dan bina, mereka boleh memilih sama ada untuk membeli bila unit hartanah tersebut apabila siap dahulu atau membeli rumah subsale.
“Ia lebih selamat tetapi tidak lah dapat menikmati diskaun bumiputera kepada pembeli bumiputera seperti yang dibenarkan oleh kerajaan untuk rumah baharu sahaja,” ujarnya.-UTUSAN










