GUA MUSANG: Aliran trafik di pintu masuk ke Gua Musang kembali lancar dan terkawal hari ini selepas mengalami kesesakan ekoran pertambahan kenderaan perantau yang pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidiladha semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati di laluan Gua Musang-Kuala Lipis dan Gua Musang-Kuala Krai hari ini mendapati, bilangan kenderaan perantau dilihat berkurangan berbanding semalam.
Selain itu, tinjauan yang dilakukan di jalan Gua Musang-Jeli juga mendapati laluan alternatif untuk perantau ke daerah Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah juga lengang dengan kenderaan.
Seorang perantau, Nur Azrin Kamarudin, 37, berkata, dia bersama keluarga juga melalui perjalanan tanpa kesesakan teruk di beberapa kawasan sepanjang jalan negeri Pahang ke Kelantan.
Menurutnya, dia merujuk aplikasi Google Maps sebelum memulakan perjalanan bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
“Aliran trafik dilihat lancar dan terkawal semasa tiba di pintu masuk Gua Musang. Keadaan itu tidak seperti kesesakan yang dilaporkan di media sosial semalam dan kelmarin.
“Beberapa laluan utama seperti di Lebuh Raya Karak, Plaza Tol Gombak dan Bentong juga lancar dengan kenderaan pagi ini,” katanya.
Sementara itu, Muhamad Fadhi Hashim, 46, memberitahu, dia menggunakan jalan alternatif Gua Musang-Jeli untuk pulang ke Tanah Merah bagi mengelak kesesakan lalu lintas ketika musim perayaan.
Katanya, dia melalui jalan alternatif berkenaan bagi mengelak kesesakan lalu lintas di Bandar Gua Musang.
“Alhamdulillah, perjalanan kami dari Kuala Lumpur ke Kelantan lancar. Sebelum bertolak, kami risau akan menempuh kesesakan yang panjang, namun jangkaan kami meleset apabila laluan agak lancar pagi ini.
“Kenderaan yang menggunakan laluan di sempadan Merapoh, Pahang ke Gua Musang juga bergerak pada kelajuan yang terkawal,”ujarnya-UTUSAN










