17 PATI gagal susup keluar di pantai Tanjong Rhu - Utusan Malaysia

17 PATI gagal susup keluar di pantai Tanjong Rhu

PATI
ANTARA warga asing yang ditahan di kawasan pantai Tanjong Rhu, Pulau Carey, di Kuala Langat, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Cubaan 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk menyusup keluar dari negara ini gagal selepas dicekup di kawasan pantai Tanjong Rhu, Pulau Carey di sini, hari ini.

Kesemua individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia dua hingga 49 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA), kira-kira pukul 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, penahanan itu dilakukan selepas semua warga asing itu didapati berkumpulan dalam keadaan mencurigakan di kawasan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua migran termasuk 11 lelaki dan lima wanita itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri. Mereka kemudian mengaku mahu keluar dari Malaysia melalui laluan tidak diwartakan iaitu jalan laut,” katanya, hari ini.

Tambah beliau, kesemua Pati itu direman selama 14 hari di Balai Polis Banting bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan tiada dokumen perjalanan sah. Sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×