Menanti 15 tahun miliki rumah sendiri

Menanti 15 tahun miliki rumah sendiri

MUHAMAD Zaidi A. Raman bersama anaknya, Muhamad Khaliff Muhamad Zaidi menunjukkan kunci rumah ketika ditemui di kediaman mereka di Perkampungan Nelayan Mukim Kuala Sungai Baru Ilir, Masjid Tanah, Melaka. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Impian sebuah keluarga untuk memiliki rumah sendiri sejak 15 tahun lalu akhir­nya tercapai menerusi Projek Penempatan Semula Nelayan di Perkampungan Nelayan Mukim Kuala Sungai Baru Ilir di sini.

Bagi Muhamad Zaidi A. Raman, 42, dia bersyukur dapat memiliki kediaman berkembar dengan tiga bilik tidur berharga RM45,000 sebuah.

Menurutnya, sebelum ini dia sudah beberapa kali memohon pembelian rumah namun tidak berjaya kerana tidak meme­nuhi syarat kelayakan pinjaman bank.

“Sekarang saya menetap di kediaman milik keluarga di Per­kampungan Nelayan Kuala Su­ngai Baru bersama ibu bapa dan adik-beradik. Apabila keluarga semakin besar adalah lebih baik tinggal di rumah sendiri.

“Jadi saya macam tidak percaya apabila diberitahu akan memiliki rumah sendiri kerana borang permohonan telah dihantar lima tahun lalu namun tidak mendapat sebarang jawapan. Walaupun proses ini agak lama tetapi saya bersyukur ke­rana terpilih dalam program tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Maj­lis Penyerahan Kunci Rumah Ne­layan.

Muhamad Zaidi antara 36 nelayan yang menerima kunci rumah disampaikan sendiri Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Sementara itu, seorang lagi penerima, Mohamad Arifin Az­nan, 30, berkata, sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini lebih meriah dan bermakna.

Katanya, dia merancang untuk berpindah masuk ke rumah baharu dalam masa terdekat.

“Sudah 10 tahun saya tunggu rumah ini siap. Hendak beli rumah ketika ini bukan murah, tambahan pula saya bekerja sebagai nelayan dan tidak memiliki dokumen dikehendaki pihak bank.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana mempercepatkan projek ini dan merealisasikan impian saya untuk memiliki rumah yang selesa dan selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×