Kahwin cerai, bekas isteri, anak tanggung derita - Utusan Malaysia

Kahwin cerai, bekas isteri, anak tanggung derita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKAHWINAN sering nampak seronok dan bahagia tambahan pula apabila ada isteri, suami dan anak. Namun, di sebalik keseronokan itu sebenarnya ada tanggungjawab sangat besar yang perlu digalas.

Ada orang kahwin dahulu, baru mula belajar tentang hak dan tanggungjawab sebagai isteri mahupun suami.

Tidak salah. Sekurang-kurangnya ada keinginan dan mahu ambil tahu apakah hak dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan.

Dan pastinya, sesebuah perkahwinan itu menjadi sesuatu yang menyeronokan dan membahagiakan jika pandai menguruskan dan memahami matlamat ikatan suci itu.

Namun, tidak ramai yang masuk dalam rumah tangga dengan minda untuk memberi dan berbakti.

Segelintirnya, menganggap ikatan perkahwinan seolah satu permainan dan boleh dibuat main-main.

Apabila berlaku perceraian misalnya, si ibulah yang terpaksa menanggung nafkah anak-anak.

Manakala, si lelaki lepas tangan dan buat-buat tidak faham tanggungjawab sebagai bapa.

Minggu ini saya kongsikan kisah Ani (bukan nama sebenar), antara mangsa lelaki yang mengganggap perkahwinan dan perceraian itu satu permainan.

Bekas suami meninggalkan anak-anak bersamanya tanpa sebarang nafkah.

Dalam pertemuan baru-baru ini, wanita pertengahan 50-an itu berkata, dia diceraikan atas sebab bekas suami sudah tawar hati.

Malah, dia turut dituduh tidak lagi menarik.

“Perceraian mungkin mudah dan terbaik baginya, tetapi tidak untuk saya dan anak-anak,” ujarnya.

Hal itu kerana bekas suami langsung tidak bertanggungjawab kepada anak-anak yang ditinggalkan.

Ani dan Razlan, (bukan nama sebenar) berkahwin pada pertengahan Jun 1990 atas dasar suka sama suka.

Razlan merupakan duda anak dua. Perkahwinan pertamanya terlerai dengan alasan tiada persefahaman.

Menurut Ani, sebaik mengahwini lelaki itu, kehidupan yang bahagia hingga ke akhir usia adalah impiannya .

Namun, kebahagiaan itu hanya bertahan setakat tiga tahun pertama perkahwinan.

Janji untuk setia, saling menerima kekurangan dan kelebihan masing-masing terhakis sedikit demi sedikit.

Razlan tiba-tiba berubah sikap. Dia bukan lagi lelaki penyayang dan mengambil berat seperti sebelumnya.

Kemuncak hubungan mereka apabila Razlan tiba-tiba menyatakan hasrat untuk bercerai tanpa sebab munasabah.

“Saya benar-benar terkejut ketika itu.

“Awalnya memang tidak boleh move on, namun, akhirnya saya sedar untuk apa meneruskan hidup dengan lelaki yang sudah tidak ada perasaan dan kasih sayang,” ujarnya.

Bergelar janda anak dua yang masih kecil bukan mudah. Tambahan pula, bekas suami sering mengelak daripada menunaikan tanggungjawab kepada anak-anak.

Paling tidak boleh diterima, enam bulan selepas mereka ber­cerai, bekas suami berkahwin lagi.

Mampu mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran, sedangkan wang nafkah untuk anak-anak masih tertangguh.

Pelbagai usaha dilakukan untuk menuntut hak, namun ada sahaja alasan diberikan Razlan.

Imbas Ani lagi, untuk membesarkan kedua-dua anaknya, dia terpaksa melakukan dua pekerjaan pada satu masa.

Siang dia bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya. Manakala di sebelah malam, menjadi pembantu gerai.

Pejam celik, pejam celik, kedua-dua anaknya sudah meningkat dewasa.

Yang sulung, Amirul (bukan nama sebenar) kini melanjutkan pengajian di sebuah universiti tempatan.

Manakala anak bongsu, Marina (bukan nama sebenar) meraih keputusan cemerlang dalam Sijl Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini dan menung­gu tawaran ke menara gading.

“Tiada siapapun yang mahu perkahwinan dibina gagal. Saya tahu perceraian adalah hal yang dimurkai Allah, tetapi mungkin jodoh kami sampai di situ sahaja. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” ujar Ani.

Ditanya mengenai kehidupan bekas suami, wanita tabah itu langsung tidak berminat untuk mengambil tahu perkembangan Razlan.

Melalui perkhabaran yang disampaikan kawan-kawannya, sepanjang tempoh hampir 20 tahun itu, bekas suami berkahwin lagi.

Namun, dua perkahwinan sebelum itu juga gagal. Apa yang dikesalkan sikap bekas suami tidak pernah berubah.

Kedua-dua isterinya itu diceraikan dengan alasan sama kononnya sudah tawar hati dengan mereka.

“Nasib mereka juga serupa seperti saya dan anak-anak. Diceraikan dan meninggalkan anak-anak tanpa sebarang nafkah,” tambahnya.

Ternyata, perangai bekas suami yang suka kahwin cerai itu lebih cenderung membawa kesan negatif kepada anak-anak.

Menurut Ani, dia mendapat tahu anak-anak bekas isteri pertama mengalami gangguan emosi dan psikologi yang agak teruk.

Seorang daripada tiga anak bekas suaminya terlibat dengan ketagihan dadah.

Manakala, anak-anak daripada bekas isteri ketiga dan keempat juga tidak diuruskan dengan baik.

“Saya tahu bagaimana menanggung seksa hidup tanpa menerima sebarang bayaran nafkah daripada bekas suami, selain terpaksa membesarkan anak-anak dengan pendapatan sendiri,” ujarnya.

Kata Ani, bekas suami sudah melalui empat perkahwinan dan masih tidak tahu apa yang dimahukan dalam hidup.

Dalam Islam, perkahwinan adalah satu ikatan suci yang amat dijaga hal ehwalnya oleh syarak. Ia juga sebahagian daripada tuntutan agama dan fitrah normal sebagai manusia.

Jika mampu, tiada salahnya seseorang itu menyegerakan perkahwinan.

Yang pasti, seseorang itu akan merasai hikmah dan nikmat perkahwinan tersebut.

Sebagaimana firman Allah SWT: “Dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai.”(Surah An-Nisa, ayat 5)

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×