SOALAN
Saya surirumah. Pernah berkerja dan suami minta berhenti selepas melahirkan anak. Di peringkat awal, saya seronok menguruskan keluarga, namun lama-kelamaan saya mula penat dan rasa tidak dihargai. Suami menganggap saya sebagai beban kerana tiada sumber kewangan.
-Isteri kecewa
JAWAPAN
Memiliki suami penyayang dan pandai menghargai merupakan idaman semua isteri. Namun bagaimana pula jika sebaliknya? Pasti ia menggugat hati para isteri. Berikut adalah beberapa langkah yang mungkin dapat membantu puan mengatasi situasi ini:
a)Fokus pada diri – Semua orang sayangkan keluarga, tetapi kesejahteraan fizikal dan mental perlu diutamakan. Jika emosi isteri tidak dijaga, suami dan anak akan terabai. Raikan perasaan yang hadir dan fokus pada perubahan yang ingin dilakukan untuk keluarga.
b)Berkomunikasi – Ajak suami berbincang dan luahkan perasaan anda. Komunikasi yang baik adalah kunci untuk menyelesaikan masalah keluarga.
c)Mencari sokongan – Sertai kumpulan sokongan surirumah atau ibu-ibu. Kadang-kadang, berkongsi pengalaman dengan orang lain yang berada dalam situasi sama dapat memberi semangat dan perspektif baru.
d)Belajar menghargai – Sentiasa saling mengingati tentang tugasan masing-masing. Pengorbanan isteri di rumah dan suami di tempat kerja. Memahami kepenatan dan kesusahan pasangan dapat memberi rasa syukur dan saling menghargai.
e)Memperbaharui kemahiran – Pertimbangkan untuk mengambil kursus dalam talian atau belajar kemahiran baru yang boleh digunakan untuk bekerja semula di masa depan. Ini juga boleh membantu anda membina keyakinan diri.
f)Rancang kewangan – Bincang dengan suami tentang perancangan kewangan keluarga. Mungkin ada cara untuk mengurus kewangan dengan lebih baik bagi mengurangkan tekanan kedua-dua pihak.
g)Dapatkan bantuan profesional – Jika perbincangan dengan suami tidak membuahkan hasil, pertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada kaunselor perkahwinan atau profesional. Kaedah ini membantu pasangan memahami perasaan dan pandangan masing-masing.
h)Berkorban untuk keluarga itu baik, tapi perlu diingatkan yang kesejahteraan fizikal dan mental juga perlu dijaga. Anda berhak dihargai dan bahagia sebagai surirumah dan ibu.










