ISKANDAR PUTERI: Seorang kanak-kanak perempuan ditemukan lemas di Jeti Kampung Dapur Arang di Sungai Gelang Patah, dekat sini, sebentar tadi.
Mayat mangsa, Nur Aqisyah Abdullah, 10, dijumpai pada pukul 9.07 malam selepas empat jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pasukan bomba dan penyelamat.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan, Saifulizam Salleh berkata, kejadian berlaku semasa mangsa bermain di tepi jeti ketika waktu hujan.
Mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam Sungai Gelang Patah dan pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu pada pukul 5 petang.
“Seramai sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Operasi SAR dilakukan di lokasi kejadian, iaitu di Jeti Kampung Dapur Arang. Setelah empat jam operasi digerakkan, mayat mangsa dijumpai pada pukul 9.07 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Menurutnya, mayat mangsa ditemukan di dasar sungai berkedalaman tiga meter.
“Operasi SAR yang dijalankan berjaya menemukan mangsa di kedudukan lima meter dari tempat mangsa terakhir dilihat,” katanya. – UTUSAN









