JOHOR BAHRU: Seramai 20 asnaf berjaya menjadi usahawan selepas menghadiri kelas bimbingan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Mentor mereka, Rozita Mohd. Sanusi, 44, berkata, hasil bimbingan tenaga pengajar, mereka berjaya menubuhkan sebuah syarikat jualan makanan.
“Semua asnaf ini menjalani kelas bimbingan inkubator MAINJ terlebih dahulu sebelum menghadiri kelas-kelas asas pembuatan makanan dan minuman. Alhamdulillah, kesemuanya berjaya menamatkan kursus dan berjaya menumbuhkan syarikat Usahawan Sri Enterprise,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Rozita memberitahu, sejak ditubuhkan dua tahun lalu, sambutan daripada orang ramai terhadap pelbagai jenis produk terutama kuih sepit dan tat nanas serta kek kukus amat menggalakkan.
“Dengan modal permulaan RM20,000 menubuhkan Usahawan Sri Enterprise, hasilnya amat memberangsangkan apabila menerima banyak tempahan daripada orang perseorangan, jabatan kerajaan dan swasta,” katanya.
Usahawan Sri Enterprise juga menyertai festival yang diadakan di Singapura dan Sabah bagi mempromosikan beberapa jenis kuih dan kek.
Ahli Usahawan Sri Enterprise juga berhasrat mengembangkan perniagaan dengan membuat sambal petai, sambal belacan Johor dan sambal ikan bilis. – UTUSAN










