Belasah kekasih kerana keluar beli sayur

Belasah kekasih kerana keluar beli sayur

TERTUDUH didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka dengan pertuduhan mencederakan kekasih dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kekasihnya. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hanya kerana keluar dari rumah untuk membeli sayur tanpa keizinan, seorang kontraktor didakwa memukul kekasihnya itu sehingga mengalami patah pada beberapa anggota badan.

Tertuduh, See Yong Fei, 35, yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan mangsa berusia 38 tahun cedera parah dengan cara memukul dan menumbuk tangan serta menendang belakang badan sehingga patah di beberapa bahagian anggota badan.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.28 malam di Taman Desa Bertam dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Mei 2024.

Mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh bertindak memukul mangsa selepas berang wanita itu keluar rumah untuk membeli sayur tanpa keizinannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Kelvinder Singh Sidhu merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai kontraktor, selain mempunyai lima anak berusia antara enam bulan sehingga 15 tahun.

Turut hadir peguam pemerhati mangsa, Kent Tan Chow Teng, Cassian Anthony dan Francis Augustine.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pendakwaan.

Dalam prosiding berasingan, tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual terhadap anak wanita itu yang berusia 14 tahun, tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukannya kira-kira pukul 6.30 petang di alamat sama pada 17 September 2023.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×