MELAKA: Kolam Air Panas Jasin dekat sini diarah tutup selama 14 hari bermula Sabtu lalu berikutan penularan wabak probable leptospirosis atau kencing tikus.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, seramai 33 individu termasuk pelajar dan guru sebuah sekolah di negeri ini disyaki dijangkiti penyakit itu selepas mengunjungi lokasi itu, minggu lalu.
Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah menerima notifikasi mengenai sekumpulan pelajar mengalami gejala selepas mengikuti program terapi air di situ pada 7 Jun lalu.
“Gejala yang dialami adalah demam, batuk, selesema dan sakit badan. Seramai 15 pelajar, sembilan guru dan tiga penjaga telah mengalami gejala selepas ke kolam tersebut pada 5 Jun.
“Lima daripada mereka iaitu empat pelajar dan seorang penjaga dimasukkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan. Manakala individu bergejala yang lain telah diberi rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan (KK) Ayer Keroh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ruzita, sampel klinikal pesakit telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kesihatan (MKAK) Sungai Buloh, Selangor untuk ujian pengesahan.
“Selain daripada itu, sebanyak enam kes baharu disyaki Leptospirosis telah dikesan dalam kalangan orang awam yang berkunjung ke Kolam Ayer Panas Jasin dari 7 Jun 2024 hingga 11 Jun 2024.
Jelasnya, setakat ini jumlah keseluruhan kes disyaki adalah 33 kes dan kesemuanya masih menunggu keputusan ujian pengesahan.
Tambahnya, penilaian risiko dijalankan mendapati, lokasi itu mempunyai persekitaran yang kondusif untuk penularan kencing tikus manakala sampel persekitaran turut di hantar ke MKAK Sungai Buloh.
“Sebagai langkah kawalan, pusat rekreasi tersebut telah diarahkan ditutup serta-merta selama 14 hari bermula 8 Jun 2024 dan pengusaha diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.
“Pengusaha juga diminta untuk menukar air kolam secara kerap dan berjadual, menjaga kebersihan, dan memastikan tiada infestasi tikus atau haiwan pembawa penyakit lain,” katanya. – UTUSAN










