PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan laluan Smart Lane di 18 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di lokasi-lokasi kritikal menjelang cuti perayaan lebuh raya Aidiladha nanti.
Menurut PLUS, langkah itu sebagai persediaan menguruskan peningkatan trafik di lebuh raya bagi membantu pengguna menikmati perjalanan yang lebih lancar.
“Ketika Smart Lane diaktifkan, lorong kecemasan yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan dan meningkatkan kapasiti lorong di laluan kritikal lebuh raya.
“Orang ramai boleh mengenal pasti laluan Smart Lane ini melalui pemasangan Lampu Hijau Berkelip (Green Flashing Light) untuk menunjukkan bahawa laluan Smart Lane diaktifkan dan boleh digunakan di lokasi-lokasi yang tertentu.
“Selain itu, PLUS turut meletakkan papan tanda pemberitahuan dan peringatan Smart Lane di lokasi-lokasi Smart Lane yang terlibat,” katanya dalam kenyataan.
Jelas PLUS, lorong Smart Lane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang dengan pengguna boleh memasuki Lorong Kecemasan untuk sementara waktu sebelum diarahkan masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka.
“Bagaimanapun, pengguna lebuh raya dilarang sama sekali untuk memandu di lorong kecemasan di lokasi-lokasi lain di mana tiada laluan Smart Lane diaktifkan,” kata kenyataan itu,
Bagi mengelakkan gangguan terhadap pergerakan trafik, PLUS berkata, pihaknya akan memastikan tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di lebuhraya PLUS di antara 12 hingga 19 Jun nanti.
Namun, katanya, pengecualian diberikan untuk kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan serta pembaikan kritikal.
“Untuk mengagihkan trafik, PLUS turut menyediakan jadual perjalanan digital iaitu MyPLUS-TTA menerusi Aplikasi PLUS.
“Untuk mendapatkan jadual digital MyPLUS-TTA, pengguna lebuh raya boleh memuat turun Aplikasi PLUS dan mendaftarkan perjalanan mereka untuk memilih waktu perjalanan yang paling optimum pada perjalanan sempena perayaan Aidiladha di antara 13 hingga 18 Jun.










