JOHOR BAHRU; Dua lelaki warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah MDMA seberat 58.6 kilogram (kg) di Iskandar Puteri, bulan lalu.
Tertuduh, Ee Choong Kiat, 36, dan Τan Xiao Wei, 49, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, R. Salini, namun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-duanya secara bersama-sama didakwa mengedar dadah jenis MDMA dengan anggaran berat 58.6 kg di Jalan Anjung 8/1, Taman Horizon Hills, Iskandar Puteri, kira-kira pukul 10.30 malam, 29 Mei lalu.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 398 (2) akta sama dan dibicara bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati disertakan dengan sebatan sehingga 15 kali, jika sabit kesalahan.
Xiao Wei turut didakwa dengan empat pertuduhan, iaitu mengedar dadah jenis MDMA dan methamphetamine dengan anggaran seberat 13.1 kg serta dua pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin dan nimetazepam dengan anggaran berat 680 gram (g).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Residensi Permai, Menara A, Jalan Mutiara 7, Taman Perindustrian Plentong pada pukul 6.35 petang, 29 Mei lalu.
Sementara itu, Choong Kiat pula didakwa dengan dua pertuduhan mengedar dadah jenis MDMA dengan berat kasar 74 gram dan memiliki ketamin dengan berat kasar 26.4 gram di Pangsapuri Molek, Persiaran Bumi Hijau, Taman Molek pada pukul 3 40 petang, hari yang sama.
Bagi pertuduhan mengedar dadah, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, disertakan tidak kurang daripada 15 kali sebatan, jika disabit kesalahan.
Bagi pertuduhan memiliki dadah, pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Nur Afiqah Hambali.
Mahkamah menetapkan 14 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
1 Jun lalu, Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran antarabangsa dengan rampasan pelbagai jenis dadah seberat 198.54 kilogram (kg) bernilai RM11.6 juta dalam tujuh serbuan. – UTUSAN










