PETALING JAYA: “Jika mahu keputusan baik perlu ada ramai pemain senior.”
Begitu pendapat bekas pemain hoki kebangsaan yang juga jurulatih Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini berkenaan prestasi hambar Speedy Tigers selepas kempen Piala Negara-Negara di Poland melabuhkan tirainya.
Nor Saiful berkata, keseimbangan pemain amat penting bagi mendapatkan keputusan yang baik dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau turut berkata, Speedy Tigers bernasib baik susulan meletakkan sasaran untuk berada di tahap tertinggi pada Sukan Asia 2026 di Jepun.
“Kumpulan pemain itu sangat penting bagi mengekalkan keseimbangan pasukan dan mempamerkan keputusan yang baik di kejohanan antarabangsa.
“Kalau tengok semasa jurulatih sebelum ini (Arul Selvaraj) separuh dari pasukan itu tiada dalam pasukan sekarang. Untuk dapat keputusan terbaik, kita tidak boleh mengambil semua pemain muda yang tiada pengalaman.
“Kita perlu ada barisan yang boleh bermain, seperti Razie Rahim dan Faiz Helmi Jalil bagi mengemudi pemain muda ini untuk kejohanan akan datang.
“Selepas Sarjit dilantik menjadi jurulatih, kita sudah tahu Speedy Tigers tidak meletakkan apa apa sasaran sehingga Sukan Asia 2026. Dengan barisan pemain yang bersaing di kejohanan ini sememangnya keputusan yang dijangkakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Speedy Tigers menamatkan kempen Piala Negara-negara di tempat ketujuh daripada sembilan pasukan selepas mengatasi Austria 5-4 pada aksi di Stadium Hoki Gniezno, kelmarin.
Dalam pada itu, Saiful turut menegaskan skuad hoki kebangsaan perlu menekankan aspek kecergasan dan taktikal semasa aksi permainan.
Hal ini kerana, Speedy Tigers cemerlang pada suku pertama dan kedua permainan namun, semakin merudum dan mudah dibolosi ketika suku ketiga dan keempat bermula.
“Kalau kita lihat aksi pembukaan menentang Pakistan, skuad negara banyak menyerang pada separuh masa pertama dan mendahului dengan baik. Itu memang taktik permainan kita sejak dahulu lagi.
“Namun saya lihat ketika separuh masa kedua, pasukan lawan bangkit semula untuk mengasak benteng pertahanan dan menyaksikan mereka semakin goyah.
Jadi barisan kejurulatihan perlu menekankan aspek kecergasan dan mengubah taktikal permainan mereka untuk mengelak kejadian ini berlaku,” katanya.
Speedy Tigers diberi masa dua tahun untuk membentuk skuad ampuh bagi mengharungi cabaran di pentas antarabangsa khususnya pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Sukan Olimpik Los Angeles 2028. – UTUSAN










