Keluarga masih tunggu ‘kepulangan’ Nur Hafizah

Keluarga masih tunggu ‘kepulangan’ Nur Hafizah

NUR Wahida Zailan dan keluarga menjadikan jambatan gantung dan sungai di Kampung Aur, Bukit Ibam di Rompin, Pahang sebagai kubur tidak bertanda untuk melepaskan rindu terhadap Nur Hafizah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: ‘Kepulangan’ Nur Hafizah Zailan yang hilang dibawa arus sungai di Kampung Aur, Bukit Ibam di sini masih ditunggu ahli keluarganya walaupun kejadian jambatan gantung roboh di situ yang mengha­nyutkan mangsa sudah lebih setahun berlalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, kakak mangsa, Nur Wahida Zailan, 26, berkata, mereka sekeluarga masih berharap Nur Hafizah ditemukan dalam apa juga keadaan sekalipun.

Katanya, selagi tidak mene­mukan jasad adiknya, selagi itu mereka sekeluarga akan terus me­nunggu ‘kepulangan’ anak kedua daripada tiga beradik tersebut.

“Kami menjadikan sungai di kampung ini sebagai kubur tidak bertanda. Bila kami rindu, kami akan ke sungai ini.

“Tapi kami semua masih berharap adik masih hidup sebab sampai sekarang tiada sebarang petunjuk pun untuk Kak Ngah (Nur Hafizah) ditemukan.

“Kita harap jasadnya atau apa sahaja keadaan dapat dikuburkan dan sekurang-kurangnya ada tanda,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Tambah Nur Wahida lagi, dua ekor kucing yang dipelihara adiknya sebelum kejadian itu masih dibela oleh keluarga sehingga kini.

Ujarnya, kucing yang diberikan nama Muk dan Uteh itu dijaga sebaik-baiknya bagi menghargai pengorbanan adiknya yang berusaha menyelamatkan haiwan itu ketika banjir.

“Kejadian berlaku pada awal pagi dan ketika itu kampung dilanda banjir dan kami ditempatkan di pusat pemindahan sementara. Kak Ngah keluar hendak menyelamatkan kucingnya.

“Ketika hendak menyeberang jambatan gantung untuk ke rumah, ketika itulah jambatan gantung roboh dan Kak Ngah terjatuh dan hilang sehingga kini,” katanya mengimbau kejadian terbabit.

Dalam kejadian 3 Mac tahun lalu, Nur Hafizah dilaporkan hilang dibawa arus ketika menyeberangi jambatan gantung di Kampung Aur dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) gagal menemukan mangsa sebelum dihentikan pada 4 April tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×