Jual air kepada Pulau Pinang bukan omong kosong - Utusan Malaysia

Jual air kepada Pulau Pinang bukan omong kosong

PROJEK naik taraf LRA Lubuk Buntar Lama dijangka siap pada September ini di Bandar Baharu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Cadangan Kedah yang mahu menjual bekalan air terawat kepada Pulau Pinang seperti diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak bersifat politik.

Pejabat Menteri Besar dalam kenyataan memaklumkan, tawaran itu dibuat berdasarkan fakta setelah projek naik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar Lama di Bandar Baharu siap pada September ini.

Menurutnya, kapasiti pengeluaran air terawat daripada dua LRA iaitu LRA Lubuk Buntar Lama berkapasiti 30 juta liter sehari (JLH) dan LRA Lubuk Buntar Baru (25 JLH) akan menghasilkan sebanyak 55 JLH.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan Unjuran Permintaan Air Terawat di Daerah Bandar Baharu sehingga tahun 2030, akan ada lebihan atau margin air terawat daripada dua LRA ini sebanyak 20 JLH.

“Menteri Besar berpandangan bahawa 10 JLH daripada lebihan bekalan air terawat ini boleh dijual kepada Pulau Pinang untuk kegunaan penduduk di kawasan Nibong Tebal yang berjarak 16 kilometer dari Bandar Baharu,” kata kenyataan itu hari ini.

LRA Lubuk Buntar Lama yang beroperasi sejak 1992 pernah membekalkan air terawat ke Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) yang mana jajaran paip masih terdapat di sempadan dua negeri iaitu di Permatang Pasir dan Bandar Baharu.

Maklum balas itu merujuk kepada kenyataan Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa margin kegunaan air yang diperlukan oleh industri dan rakyat negeri ini mencapai tahap 99 peratus sehingga menjadikan terlalu mustahil untuk Kedah menjual sumber itu kepada negeri jiran.

Dalam ceramah di Sungai Bakap, baru-baru ini, Muhammad Sanusi berkata, tawaran itu dibuat selepas mendapati penduduk di kawasan Nibong Tebal dan Sungai Bakap masih berdepan dengan masalah air sejak lebih enam tahun lepas.

Sementara itu, kenyataan sama menyebut, komen Mahdzir yang menuduh Muhammad Sanusi membuat tawaran itu semata-mata untuk memenangi hati pengundi DUN Sungai Bakap adalah penuh prasangka dan tidak berlandaskan fakta sebenar.

“Tawaran itu bukanlah omong kosong sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap,” ujar kenyataan itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini